Isnin, 21 March 2016 | 12:18pm
JIHAN Musa bersama suami, Ungku Hariz.
NUR Jihan Musa dan suaminya di majlis nikah.
NUR Jihan Musa dan suaminya di majlis nikah.

Jihan idam dikurniakan segera cahaya mata

KUALA LUMPUR: Pelakon, pengacara dan pelawak, Jihan Muse, 33, menyedari hakikat lewat mendirikan rumah tangga namun berharap dikurniakan cahaya mata secepat mungkin.

Malah pemilik nama penuh Nur Jihan Musa itu berkata, beliau tidak menyesali takdir berkahwin pada usia 30-an sebaliknya menyerahkan rezeki anak kepada Tuhan sekali gus melengkapkan rumah tangga yang baharu dibina bersama suami, Ungku Hariz, 31.

"Saya menyedari hakikat berkahwin pada usia 30-an namun tidak menyesal dengan ketentuan Tuhan. Semestinya ada hikmah di sebalik takdir yang mana kami disatukan sebagai suami isteri hanya selepas menyemai cinta selama sembilan tahun.

"Kalau boleh kami berharap untuk dikurniakan cahaya mata secepat mungkin. Apa pun kami tidak mempunyai sebarang perancangan dalam soal menambah ahli keluarga dan menyerahkan saja kepada soal rezeki," katanya kepada BH Online.

Mengulas mengenai keperibadian Ungku Hariz hingga dapat menawan hatinya, Jihan berkata mereka berdua saling melengkapi satu sama lain malah tempoh bercinta yang lama juga membuatkan mereka semakin memahami sikap serta keperibadian masing-masing.

"Dia (Ungku Hariz) adalah pengkritik utama dan memainkan peranan sebagai tulang belakang perjalanan kerjaya saya. Komen membina yang diberikan dijadikan pemangkin buat diri saya untuk menjadi lebih baik.

"Tempoh sembilan tahun bukanlah jangka masa yang singkat. Tentunya kami pernah melalui pelbagai fasa termasuk bergaduh seperti pasangan lain namun ia sebagai pengajaran yang mematangkan kami terutama apabila berdepan semula situasi sama.

"Sedari dulu kami mementingkan komunikasi dua hala apatah lagi Ungku Hariz menitik beratkan usaha berbincang sama ada dalam membuat keputusan mahu pun berselisih faham.

"Beliau seorang lelaki yang tegas dan mahu menyelesaikan sebarang masalah secepat mungkin bagi memastikan ia tidak melarat atau menjurus kepada salah faham lain dan pada masa sama sarat dengan sifat toleransi," kata Jihan.

Jihan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pernikahannya yang diadakan di Laman Kayangan, di sini, semalam. Beliau itu selamat bergelar isteri kepada pelakon, Ungku Hariz dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis yang dihadiri kira-kira 300 orang tetamu.

Berita Harian X