Isnin, 21 March 2016 | 7:58pm

Jabatan Audit Negara lakukan audit forensik terhadap KBS


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa ketika sidang media mengenai penangkapan pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Turut kelihatan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zabidi Zainal. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Jabatan Audit Negara akan menjalankan proses pengauditan forensik terhadap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan agensi di bawahnya bagi mengesan sebarang ketirisan, penyelewengan atau salah guna kuasa yang berlaku.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata jabatan itu diminta mengemukakan laporan mengenainya dalam suku pertama tahun ini dan proses sama seterusnya akan diperluaskan merangkumi kementerian lain.

"Antara lain, audit forensik ini akan meneliti peraturan kewangan kerajaan yang sedia ada dan sejauh mana ia dipatuhi pada pelbagai peringkat proses dalaman di KBS.

"Kita juga akan mengenalpasti kelemahan prosedur kewangan sedia ada di mana Jabatan Audit Negara akan melaporkan hasil penelitian dan memaklumkan kepada kerajaan kelemahan prosedur berkenaan," katanya pada sidang media, di sini sebentar tadi.

Kenyataan Ali itu menyusuli tindakan Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat lalu menahan sembilan orang termasuk seorang Setiausaha Bahagian KBS yang dikatakan menerima suapan dianggar mencecah RM20 juta.

Pegawai kanan berusia 56 tahun itu bersama lapan individu lain termasuk seorang wanita, ditahan SPRM kerana dipercayai menggerakkan sindiket secara bersama hingga menyebabkan kerugian lebih RM100 juta kepada kerajaan.

Ali turut menggesa Ketua Setiausaha setiap kementerian mematuhi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2004 Panduan Pertukaran Pegawai Awam di mana pemegangan jawatan sensitif ditukar selepas bekhismat antara tiga hingga lima tahun.

Jelas beliau, pada umumnya pegawai akan ditukarkan mengikut ketetapan itu tetapi sekiranya terdapat keperluan perkhidmatan yang mana pengalaman dan pengetahuan pegawai diperlukan, dengan mengambil kira pandangan dan permohonan Kementerian, maka seorang pegawai akan dibenarkan untuk terus berkhidmat di Kementerian berkenaan.

Berita Harian X