Isnin, 21 March 2016 | 11:24pm
PENYANYI, Ayu Damit hadir pada sidang media Zikir Perdana dan Perasmian Pertubuhan Tarekat Muktabar (PERTAMA) di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

Ayu Damit jadi usahawan cili

PENYANYI, Ayu Damit hadir pada sidang media Zikir Perdana dan Perasmian Pertubuhan Tarekat Muktabar (PERTAMA) di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Perkembangan perniagaan dalam bidang pertanian yang semakin maju di negara ini membuatkan penyanyi, Ayu Damit, tergerak hati mengusahakan tanaman cili secara fertigasi.

Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit, 26, berkata aktiviti pertanian itu mula diusahakan bersama suami, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 29, sejak beberapa bulan lalu di atas tanah seluas empat ekar di Perak.

"Sebelum ini, saya dan suami pernah mengusahakan tanaman nanas dan kelapa, tetapi akibat beberapa kejadian bencana alam, ia terpaksa dihentikan.

"Tanpa membuang masa, kami usahakan tanaman cili fertigasi pula. Setakat ini kerja pembersihan tanah sedang dilakukan," katanya kepada BH Online.

Menurut Ayu, perniagaan itu dijalankan bersama syarikat Enigma Agro Farm dengan modal mencecah sehingga RM100,000.

Ayu juga menyifatkan bidang pertanian bukan lagi hanya pekerjaan untuk mencari pendapatan biasa, tetapi mampu memberi pulangan lumayan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Berikutan itu juga Ayu merancang untuk memasarkan produk cili terbabit sehingga ke luar negara.

"Biasanya orang hanya tanam dan jual cili di pasar borong. Tetapi saya mahu lebih daripada itu. Saya bersama syarikat terbabit sedang merancang untuk menjadi pemborong yang boleh memasarkan produk cili fertigasi ke luar negara.

"Potensi bidang pertanian sangat besar dan permintaan terhadap nanas serta kelapa juga tinggi. Perkara itu membuatkan kami yakin ia akan berjaya," katanya.

Sementara itu, dalam kesibukan menguruskan perniagaan baharunya, Ayu bakal menunaikan ibadat umrah pada 28 Mac ini bersama suami.

"Saya amat bersyukur dan tidak sabar ingin menjejakkan kaki ke Makkah. Ia pengalaman pertama saya ke Tanah Suci.

"Begitupun, tidak banyak persediaan yang kami lakukan. Cuma, saya berharap segala urusan ketika berada di sana dipermudahkan Tuhan," kata penyanyi ini yang memberikan kepercayaan kepada Ukhwah Enigma Management bagi menguruskan kerjayanya.

Berita Harian X