Selasa, 22 March 2016 | 9:51am

Polis Marin wujudkan FOB di perairan Sabah

KUALA LUMPUR: Bagi mempertahankan kedaulatan perairan negara daripada ancaman luar, Pasukan Polis Marin (PPM) akan mewujudkan sebuah Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Pulau Mabul, Sabah bagi menjaga keselamatan perairan negeri itu.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata FOB yang bakal dibina pada tahun ini membabitkan peruntukan RM25 juta dan ia akan bertindak sebagai markas taktikal.

FOB berkenaan yang akan dikendalikan oleh PPM, turut dianggotai pasukan Komando VAT 69, pasukan Gerakan Am dan Pasukan Gerakan Khas (Unit Tindakan Khas).

"Apabila FOB siap dibina, kami akan menempatkan 10 bot di sana dengan kawasan liputan menjangkau sehingga Pulau Si Amil dan Pulau Sipadan di Sabah serta persempadanan Indonesia," katanya.

Pembinaan FOB itu adalah perancangan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan PPM. Ia juga projek perintis ESSCOM dan PPM sebagai markas taktikal dalam mengawal selia kawasan keselamatan perairan.

Abdul Rahim berkata dengan pembinaan FOB itu, ia sekali gus memberi keselesaan dan ketenteraman kepada pelancong tanpa sebarang kegusaran daripada ancaman luar.

"Kami akan bina sebuah FOB dulu di pulau itu (Pulau Mabul) sebagai percubaan jika ia efektif barulah kami akan bina di pulau sekitar Sabah serta di negeri lain," katanya.

FOB akan dipasangkan peralatan canggih seperti seperti 'infrared thermal images', radar pengawasan dan kamera litar tertutup bagi mengesan musuh.

"Peruntukan kami sudah ada... tinggal lagi nak lancarkan sahaja dan pasang siap, maka tak banyak kerja lagi tapi masih dalam pertimbangan ESSCOM.

"Projek FOB ini adalah sebahagian usaha kerajaan dan ia sudah membuktikan komitmen kerajaan untuk meningkatkan lagi keberkesanan pasukan polis dalam memberi khidmat kepada rakyat," katanya.

Ditanya mengenai tahap keselamatan di perairan Sabah, Abdul Rahim berkata keadaan keselamatan di perairan negeri itu terkawal.

"Kami sentiasa membuat rondaan selama 24 jam serta pengawasan bersama agensi keselamatan lain dalam usaha menangani sebarang ancaman di kawasan tertentu sekitar perairan Sabah," katanya.

Abdul Rahim berkata, semua agensi keselamatan yang terbabit menjaga perairan negara juga perlu mempertingkat elemen perisikan masing-masing.

"Penting bagi semua agensi keselamatan memperkukuhkan lagi keupayaan serta perkongsian maklumat perisikan secara bersepadu bagi menentukan operasi maritim lebih berkesan.

"Saya juga minta orang ramai menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan khususnya nelayan iaitu dengan bertindak melaporkan aktiviti mencurigakan di kawasan mereka," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X