Selasa, 22 March 2016 | 11:13am

Kim Swee tak bimbang suntuk masa

JURULATIH Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee ketika memberi taklimat di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya pada 19 Mac lalu. - Foto Hasriyasyah Sabudin
JURULATIH Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee ketika memberi taklimat di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya pada 19 Mac lalu. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Datuk Ong Kim Swee hanya mempunyai tempoh sehari untuk mengadakan latihan penuh bersama kesemua 23 pemain menjelang pertemuan dengan Arab Saudi di Jeddah Khamis ini.

Situasi itu terpaksa diharungi Kim Swee selepas kesukaran mengumpul skuad penuh akibat jadual padat membabitkan aksi Liga Malaysia dan Piala AFC ketika kem latihan pertama kendaliannya sebagai pengendali skuad kebangsaan.

Namun ia dianggap memadai memandangkan senarai pemain pilihannya bukan muka baru dalam skuad bola sepak kebangsaan serta cukup berpengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.

"Hari ini (semalam) saya hanya melakukan latihan ringan kerana sebahagian pemain terutama dari Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Perak baru saja mengharungi aksi Piala FA dan terus mengharungi penerbangan ke sini," kata Kim Swee.

"Hanya esok (hari ini) baru saya dapat melakukan latihan intensif serta menumpukan kepada aspek taktikal permainan bertemu Arab Saudi. Sehari sebelum perlawanan saya terpaksa menurunkan intensiti latihan."

Selepas pertemuan terakhir Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 itu, Kim Swee dan anak buahnya akan kembali ke tanah air untuk persiapan menghadapi Macau dalam perlawanan persahabatan di Stadium Hang Jebat pada 29 Mac.

"Untuk pertemuan dengan Arab Saudi saya tidak akan mengubah banyak corak permainan memandangkan tempoh persiapan yang singkat ini," kata Kim Swee.

"Tetapi apabila bertemu Macau nanti saya mempunyai lebih ruang untuk menerapkan sesuatu yang baru dalam corak permainan skuad kebangsaan.

"Cuma saya harap tempoh latihan singkat ini tidak menjadi penghalang untuk pemain-pemain mempamerkan corak permainan membanggakan sekali gus mengakhiri pusingan kelayakan ini dengan kejayaan.

"Kita tahu bagaimana corak permainan Arab Saudi dan tidak kira sama ada mendahului atau ketinggalan, pemain tidak boleh leka walau sesaat kerana mereka mampu menghukum dalam sekelip mata.

"Perlawanan ini bukan sekadar pelengkap aksi kelayakan tetapi ia adalah medan untuk pasukan negara mengembalikan kepercayaan peminat terhadap skuad kebangsaan. Perlawanan ini membabitkan maruah pasukan dan negara."

Malaysia akan berdepan Arab Saudi di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah pada Khamis jam 8.30 malam Khamis waktu tempatan (jam 1.30 pagi Jumaat waktu Malaysia).

Berita Harian X