Rabu, 23 March 2016 | 12:05am
PRODUK perapian rambut jenama Suavecito adalah antara identiti Eroll Barbershop milik Azrol Nizam Mukhtar di Ipoh. - Foto Supian Ahmad
PETUGAS Eroll Barbershop sedia memenuhi selera pelanggan yang mahu membentuk rambut mengikut yang diingini. - Foto Supian Ahmad
SUASANA tenang dalam Eroll Barbershop di Ipoh. - Foto Supian Ahmad

Kedai gunting Eroll tiru gaya Amerika dan Eropah



IPOH: Eroll Barbershop bukan sebarangan kedai gunting rambut di Perak, sebaliknya cukup terkenal kerana sering dikunjungi orang kenamaan serta menarik perhatian pelancong.

Bermula di Kuala Kangsar, Eroll Barbershop yang mempunyai sembilan kakitangan, kini mempunyai cawangan di Ipoh dan Kuala Lumpur, masing-masing menampilkan keunikan seni hiasan tersendiri.

Dua lagi cawangannya bakal dibuka di Manjung dan Taiping, dalam tempoh terdekat.

Popular kerana hiasan serta identiti istimewa, pemiliknya, Azrol Nizam Mukhtar, menegaskan apa yang cuba ditonjolkan adalah sejarah dan budaya awal, bagaimana kedai gunting rambut bermula dan peranan yang pernah dimainkan.

Daya tarikannya ialah hiasan yang disifatkan ramai sebagai unik, berseni dan klasik, menjadi identiti utamanya yang kini semakin berkembang hingga sinonim dengan bandar raya ini.

Keunikan Eroll Barbershop mendapat perhatian penulis blog dan peminat yang memberikan pelbagai ulasan, hingga disenaraikan antara lokasi mesti dilawati ketika berada di bandar raya ini.


PEMILIK kedai Eroll Barbershop, Azrol Nizam Mukhtar, di dalam kedai gunting miliknya di Ipoh. - Foto Supian Ahmad

EROLL Barbershop milik Azrol Nizam Mukhtar di Ipoh. - Foto Supian Ahmad

Azrol Nizam, 33, berkata beliau membuka premis pertamanya di Kuala Kangsar yang juga kampung halamannya dengan bermodalkan RM50,000.

"Segala-galanya kerana minat mendalam kepada imej serta budaya `Barbershop' di Amerika Syarikat dan Eropah, yang bukan saja sebagai tempat merapikan diri, tetapi lokasi bertemu rakan serta bersantai.

"Ketika awal pembukaannya, kedai gunting ini menarik perhatian kerana dianggap mempunyai kelas, unik serta identitinya tersendiri, bebasnya daripada aliran semasa.

"Latar belakang keluarga yang banyak berkecimpung dalam bidang ini menyebabkan minat saya kepada pekerjaan ini diasah dan dibentuk dari usia remaja," katanya.

Eroll Barbershop adalah antara kedai gunting bercirikan hipster yang terawal muncul di Ipoh dan kini ada sekurang-kurangnya lapan premis seumpama itu di sekitar bandar raya ini.

Menggunakan lukisan dan diolah semula seorang rakannya, hiasan dalaman kedai serta barangan yang digunakan sebagai perhiasan cukup unik, klasik dan menarik.


ANTARA mural yang menjadi hiasan dan tarikan di Eroll Barbershop milik Azrol Nizam Mukhtar di Ipoh. - Foto Supian Ahmad

PETUGAS Eroll Barbershop di Ipoh, sentiasa sedia memberikan servis terbaik kepada pelanggan mereka. - Foto Supian Ahmad

"Lampu yang saya gunakan ditempah khas dari Amerika Syarikat dan setiap cawangan Eroll Barbershop juga menggunakan Pomade Suavecito, iaitu produk perapi rambut nombor satu di dunia. Penggunaan produk ini banyak membantu memperkenalkan Eroll Barbershop kepada umum," katanya.

Azrol berkata, perkembangan membuka perniagaan bercirikan hipster kini semakin berkembang di Ipoh yang cukup dikenali sebagai bandar orang hipster kerana menyediakan pelbagai kafe santai bertema bebas, klasik dan berseni.

"Bagi orang luar, IPOH dirujuk sebagai akronim kepada ungkapan Ipoh Pekan Orang Hipster kerana wujud pelbagai bangunan lama yang menjadi warisan kemegahan bandar raya ini serta sejarahnya yang tersendiri.

"Ipoh juga kaya dengan tempat barangan lama wujud Pasar Karat Memory Lane pada setiap Ahad. Malah pelukis terkenal Ernest Zacharevic turut mengabadikan lukisan mural mereka di Ipoh kerana keunikan dan tarikan Ipoh yang cukup istimewa," katanya.   

Selain sembilan pekerja sepenuh masa, Eroll Barbershop turut menjadi medan latihan kepada pelatih kursus teknik menggunting rambut daripada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Kami sudah menandatangani perjanjian dengan KBS untuk menyediakan tempat latihan amali kepada pelatih IKBN di cawangan kami dan boleh terus bekerja di sini," katanya.

Azrol berkata, setiap hari kedainya menerima di antara 120-150 pelanggan dan jumlah itu meningkat khususnya ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

Beliau menyifatkan kepesatan perniagaan berkonsepkan hipster ketika ini adalah perkembangan sihat kerana masing-masing tampil dengan identiti yang berbeza dengan tarikan serta keunikannya tersendiri.

 

Berita Harian X