Rabu, 23 March 2016 | 12:34am
Presiden Perancis, Francois Hollande (tengah) berjabat tangan dengan Duta Belgium ke Perancis, Vincent Mertens de Wilmars, selepas menulis pada buku takziah di kedutaan Belgium di Paris, Perancis untuk memberi penghormatan kepada mangsa daripada letupan pagi di Brussels. Di sebelah kiri Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault. - Foto REUTERS

Serangan bom Brussels: Pemimpin EU tekad pertahan Eropah

BRUSSELS: Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) berkata, dua serangan bom di Brussels yang mengorbankan 35 nyawa, hari ini sekadar menguatkan azam mereka untuk mempertahankan nilai dan sikap toleransi Eropah.

Dalam satu kenyataan bersama, 28 pemimpin negara dan kerajaan serta pemimpin institusi EU berkata: "Kami akan bersatu dan berdiri teguh menentang kebencian dan keganasan melampau."

"EU berkabung atas apa yang menimpa mangsa selepas serangan pengganas di Brussels. Ini adalah satu serangan terbuka ke atas masyarakat demokratik kami."

Sementara itu di Berlin, letupan berkembar yang berlaku di balai berlepas, Lapangan Terbang Zaventem di Brussels, hari ini mendorong negara Eropah lain mengetatkan langkah keselamatan.

Ketika sama insiden berkenaan turut menimbulkan persoalan bagaimana penumpang harus diperiksa segera ketika memasuki terminal lapangan kapal terbang selepas ini.

Pendakwa awam Belgium berkata, satu daripada letupan di lapangan terbang yang menyediakan perkhidmatan kepada 23 juta penumpang setahun, mungkin disebabkan pengebom nekad, mengulangi serangan maut yang berlaku di Lapangan Terbang Domodedovo, Moscow pada 2011.

Langkah keselamatan adalah ketat di lapangan terbang Eropah di mana penumpang dan beg mereka akan melalui pemeriksaan senjata dan bahan letupan sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

Kebiasaannya penumpang diperiksa selepas mereka mendaftar masuk. - Reuters

39 dibaca
Berita Harian X