Rabu, 23 March 2016 | 11:33am

Marquez, Pedrosa lega Alonso selamat


PENUNGGANG MotoGP Honda, Marc Marquez dan Dani Pedrosa . - Foto EPA

DOHA: Penunggang MotoGP Honda, Marc Marquez dan Dani Pedrosa mengucapkan kata-kata semangat kepada Fernando Alonso selepas pelumba Formula Satu (F1) McLaren itu berdepan kemalangan ngeri di Grand Prix Australia, minggu lalu.

Kedua-dua pelumba dari Sepanyol itu dalam blog pasukan dan pada majlis sampingan selepas perlumbaan Grand Prix Qatar, minggu lalu tidak pernah putus mengucapkan rasa lega selepas Alonso, yang juga juara dunia dua kali tidak berdepan kecederaan teruk disebabkan kemalangan yang berpunca selepas jenteranya melanggar jentera Haas, Esteban Gutierrez.

Pelanggaran itu menyebabkan jentera yang dipandu Alonso berputar sebanyak dua kali sebelum menghentam dinding keselamatan litar.

Begitupun, pelumba kelahiran Sepanyol itu keluar daripada jenteranya yang remuk teruk tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Alonso sememangnya rapat dengan Marquez dan Pedrosa dengan ketiga-tiganya berlumba di bawah syarikat Honda dengan McLaren ketika ini menggunakan enjin yang dibekalkan pengeluar dari Jepun itu.

Ketika majlis 'Thank Day' Honda baru-baru ini, Alonso turut menunggang jentera RC213V bersama Marquez.

"Saya mahu memastikan saya menghantar mesej yang memberi semangat kepada Fernando Alonso berikutan kemalangan yang dilaluinya pada Formula 1 GP Australia," kata Marquez.

"Saya lega ia bukan sesuatu yang besar. Saya memberikannya pelukan yang besar, dan saya yakin musim ini akan menjadi lebih baik."

Pedrosa dalam pada itu turut meluahkan rasa leganya.

"Berita yang keluar pada pagi Ahad cukup menakutkan dan membabitkan Fernando Alonso. Saya lega ia bukan sesuatu yang serius. Apabila kami melihat keadaan jentera dan kemudian melihatnya keluar, saya bukan saja lega, namun turut terkejut," katanya. - Agensi

39 dibaca
Berita Harian X