Khamis, 24 March 2016 | 12:08pm

Ruhainies-Fatah batal program cuti ke Bali

FATTAH Amin (kanan) dan Nur Ruhainies di Majlis tayangan episod akhir Hello Mr Perfect di Pitching Centre, Platinum Sentral, KL Sentral. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Pelakon Ruhainies mengaku program percutian ke Bali, Indonesia bersama Fattah Amin dan peminat terpaksa dibatalkan gara-gara ada pihak tidak senang dengan kehadirannya bersama aktor itu.

Ruhainies atau nama sebenarnya Ruhainies Zainul Ilyas, 24, berkata pada asalnya dia tidak tahu dirinya juga terbabit dengan perancangan sebuah agensi pelancongan mengadakan program bersama peminat ke Bali, sebaliknya hanya maklum perkara itu daripada pihak lain.

"Sebenarnya saya tidak tahu mengenai perancangan agensi percutian itu untuk membawa hero dan saya sebagai heroin drama Hello Mr Perfect ke Bali. Saya tahu mengenai perkara itu daripada pihak lain.

"Saya difahamkan, program itu terpaksa dibatalkan kerana ada pihak yang tidak senang dengan kehadiran saya bersama Fattah. Tidak mengapa, saya anggap percutian itu bukan rezeki saya," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, sebuah akhbar baru-baru ini mendedahkan, program percutian dua bintang drama Hello Mr Perfect berkenaan ke Bali bersama peminat terpaksa dibatalkan gara-gara individu yang melarang aktor dan aktres itu bercuti bersama.

Sementara itu, Ruhainies berkata, dia tidak tahu siapakah individu yang tidak senang dengan penganjuran program berkenaan, namun berharap agar percutian terbabit dibatalkan bukan berkaitan hal peribadi mana-mana pihak.

Walaupun artikel berkenaan tidak menyebut nama pihak yang dikatakan menjadi punca pembatalan program bersama peminat itu, namun netizen mula mengaitkannya dengan kekasih Fattah, Sherry Ibrahim.

"Saya seorang profesional dalam hal kerja. Setakat ini, saya tahu Fattah sudah mempunyai kekasih, begitu juga dengan saya. Jika benarlah ia dibatalkan kerana isu cemburu, saya harap ia tidak terjadi lagi," ujarnya.

Fattah yang diminta mengulas mengenai isu berkenaan terkejut apabila program percutian itu menjadi kontroversi.

Menurut Fattah, dia difahamkan, hanya dirinya yang terbabit dalam program itu sebelum ini. Tegasnya, dia tidak pun diberitahu mengenai pembabitan mana-mana artis lain dalam program percutian berkenaan.

"Saya terkejut apabila ia menjadi isu kerana setahu saya, pihak agensi hanya meminta saya bercuti dengan peminat. Tiada artis lain yang akan terbabit.

"Jadi, bagaimana nama Ruhainies boleh dipetik? Kenapa Sherry pula dibabitkan dalam perkara ini? Andai kata benar program itu membabitkan Ruhainies, Sherry tidak mempunyai masalah pun dengan perkara itu kerana dia sudah faham cara kerja industri hiburan tempatan," katanya.

Berita Harian X