Khamis, 24 March 2016 | 2:30pm

Lelaki kutuk PDRM dalam FB didenda


PEMANDU Trak Tunda, Muhammad Annuar Saberi, mengaku bersalah dan didenda RM5,000 di Mahkamah Majistret Shah Alam atas kesalahan menghantar komen yang menjelikkan terhadap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di laman facebook miliknya pada 29 Disember 2015. - Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Seorang pemandu trak tunda mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana mengeluarkan komen menjelikkan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Facebook (FB) miliknya, 29 Disember lalu.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin, menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Muhammad Annuar Saberi, 32.

Sekiranya gagal membayar denda, Raja Noor Adilla memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menulis komen yang jelik di laman FB miliknya yang berbunyi 'dialah sarjan..dialah ejen insuran...tahniah..minta SPRM ambil tindakan..kasihanilah kami yang mencari rezeki di tepi jalan ni...(IPD trafik Sek 9 Shah Alam)..minta viralkan'.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X