Khamis, 24 March 2016 | 3:01pm

2 buruh didakwa edar heroin, monoacetylmorphine

UMAR Ramli, (dua dari kiri) dan Abdul Farouk Mohd Salleh, (tiga dari kiri) diiringi anggota polis selepas di dakwa di Mahkamah Tinggi Kangar atas pertuduhan mengedar dadah jenis Heroin dan Monoacetylmorphine. - Foto Eizairi Shamsudin

KANGAR: Dua buruh warga tempatan berusia 20-an dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, di sini, pagi tadi atas tuduhan mengedar heroin dan monoacetylmorphine seberat 17.7 gram pada tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Farouk Mohd Salleh, 22, dan Umar Ramli, 20, yang menghadapi tuduhan bersama, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Raja Syed Alwi, Seberang Tambang, Kangar pada jam 11.05 pagi 29 September tahun lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Abu Bakar Katar.

Mahkamah menetapkan 7 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif.

Berita Harian X