Jumaat, 25 March 2016 | 12:13am
MOHAMAD Zamri menuang cecair tembaga dan logam ke dalam acuan. - Foto Amir Irsyad Omar
CECAIR tembaga dan logam dituang ke dalam corak acuan sebelum dimampatkan dengan satu lagi bongkah besi khas. - Foto Amir Irsyad Omar
MOHAMAD Zamri menunjukkan kepingan pewter yang terhasil selepas mencampurkan cecair tembaga dan logam di dalam acuan yang disediakan. - Foto Amir Irsyad Omar
MOHAMAD Zamri memotong lebihan pada kepingan pewter. - Foto Amir Irsyad Omar
KEPINGAN pewter yang sudah siap sebelum diwarnakan. - Foto Amir Irsyad Omar

Piuter batik pikat pelanggan



BUKIT MERTAJAM: Suasana bengkel yang panas berbahang dan bunyi cecair timah sedang menggelegak bukanlah fenomena asing bagi pengusaha barangan piuter, Mohamad Zamri Ismail.

Setiap hari, anak jati Pulau Pinang yang berusia 50 tahun itu lincah menyiapkan tempahan yang dipesan di bengkelnya yang terletak di belakang rumahnya di Kampung Sekolah Juru, Bukit Mertajam.

Menceritakan pembabitannya dalam bidang ukiran dan kraf tangan piuter, bapa kepada empat orang anak ini mengakui kerja ini tidak mudah seperti yang disangka namun minat yang mendalam membuatkan beliau mula menempa nama menerusi syarikat miliknya sendiri, Gadengmas Pewter.

"Saya pernah bertugas sebagai pereka bentuk di sebuah syarikat yang menghasilkan cenderamata berasaskan piuter di sini namun keinginan untuk memiliki perniagaan sendiri mulai timbul selepas lima tahun berkhidmat.

"Berbekalkan pengalaman yang ada, saya letak jawatan dan memberanikan diri belajar cara untuk memasak timah serta sukatan yang diperlukan untuk menghasilkan produk yang berkualiti.

"Kekuatan saya hanyalah dari segi mereka bentuk namun saya tekadkan semangat dan belajar sebanyak mungkin daripada rakan-rakan yang tidak lokek ilmu memberi tips dan bimbangan," katanya yang sudah berkecimpung dalam bidang ini sejak sepuluh tahun lalu.


MOHAMAD Zamri menunjukkan sebahagian hasil karya pewter warna dan piuter bercorak batik yang dihasilkan olehnya. - Foto Amir Irsyad Omar

gn4id:12695078

Guna kreativiti penuhi citarasa pelanggan

Cara membuat pesanan amat mudah di mana pelanggan boleh bersemuka dengan Mohamad Zamri untuk menyatakan jenis cenderamata yang diingini.

Dari situ, beliau akan membuat lakaran berdasarkan contoh yang dibawa pelanggan atau reka bentuk khusus dilakar menggunakan kreativiti sendiri sebelum proses pembuatan berlangsung.

Harga yang ditetapkan bergantung kepada jenis dan jumlah tempahan cenderamata yang dipesan pelanggan.

Mohamad Zamri berkata, beliau banyak mencuba-cuba menerusi lakaran bagi menghasilkan produk dan cenderamata piuter yang lebih unik dan bermutu tinggi.

"Lakaran piuter bukannya mudah kerana banyak proses yang rumit perlu disiapkan daripada kerja ukiran sehinggalah proses 'memasak'.

gn4id:12694475


MOHAMAD Zamri mengetatkan acuan untuk dikepit untuk membentuk kraftangan. - Foto Amir Irsyad Omar

"Sebanyak 97 peratus serbuk timah yang dibeli secara pukal akan dicampur tembaga dan kuprum sebelum dicairkan dan dituang ke dalam acuan besi.

"Proses ini mesti dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan timah tidak keras dengan pantas selain mengelakkan kecuaian yang boleh mengakibatkan kemalangan," katanya.

Beliau berkata, tempoh lakaran yang dibuat berdasarkan jenis tempahan yang dikemukakan pelanggan.

"Lakaran haruslah terperinci, misalnya cenderamata berasaskan Menara Berkembar Petronas (KLCC), bilangan tingkatnya itu perlu tepat supaya tidak mengelirukan pelanggan.

"Begitu juga dengan ukiran masjid, bangunan dan monumen lain yang perlu diperincikan supaya kelihatan sama seperti bangunan sebenar," katanya.


LAKARAN masjid yang terperinci kelihatan sama seperti bangunan sebenar. - Foto Amir Irsyad Omar

KEPINGAN pewter yang terhasil selepas mencampurkan cecair tembaga dan logam di dalam acuan yang disediakan. - Foto Amir Irsyad Omar

Harga trofi cecah RM 35,000

Beliau berkata, antara tempahan cenderamata piuter yang diterima setakat ini merangkumi rantai kunci, plak dan trofi yang bermula dengan harga RM7 dan mampu mencecah sehingga RM 35,000.

"Gerak kerja bergantung kepada tempahan dan kalau pesanan yang diterima itu banyak, saya akan upah dua tiga pekerja untuk membantu di bengkel.

"Selalunya, tempahan daripada agensi kerajaan dan swasta paling banyak diterima semasa awal bulan sehingga pertengahan tahun dan selebihnya berdasarkan permintaan pelanggan," katanya.


MOHAMAD Zamri menunjukkan bagaimana menggunakan peralatan melukis corak acuan di atas 'sculpy'. - Foto Amir Irsyad Omar

Ingin komersialkan piuter batik

Bekas graduan jurusan Reka Seni Institut Teknologi Mara (ITM) ini kini giat memperkenalkan rekaan terbaharunya iaitu piuter warna dan piuter bercorak batik yang mula mendapat tempat di kalangan penggemar kraftangan.

"Tahun lalu, saya berpeluang menyertai Minggu Budaya Malaysia bermula dari 13 sehingga 16 April di Place du Palais Royal, Perancis.

"Rantai kunci dan plak piuter yang bermotifkan batik mendapat sambutan menggalakkan malah saya yakin, ia mampu dikomersialkan sekiranya ada ruang dan peluang nanti.

"Saya benar-benar berharap perusahaan ini dapat dikembangkan dari masa ke semasa dan terima kasih diucapkan kepada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia kerana banyak memberi bimbingan dan dorongan kepada saya untuk berkecimpung di dalam bidang ini," katanya.

 

Berita Harian X