Jumaat, 25 March 2016 | 12:32pm

Diskaun 50 peratus langsai pinjaman

KELANA JAYA: Pelajar yang membuat pinjaman dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebelum tahun 2010, diberi diskaun 50 peratus untuk menyelesaikan baki pinjaman mereka.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata tawaran sempena ulang tahun ke-50 MARA itu terbuka untuk tempoh setahun bermula dari hari ini.

Beliau berkata, peminjam perlu menyelesaikan baki pinjaman semasa, sama ada menerusi permohonan pembiayaan persendirian untuk melangsaikan hutang mereka secara sekali gus bagi melayakkan pemberian diskaun berkenaan.

"Ketika ini MARA hanya beri diskaun pembayaran balik kepada pelajar yang pernah membuat pinjaman dari tahun 2010 hingga sekarang.

"Bagaimanapun, timbul rungutan daripada pelajar yang pernah membuat pinjaman melanjutkan pelajaran sebelum tahun 2010 kerana mereka tidak diberi faedah sama.

"Justeru, sempena ulang tahun MARA ke-50, kita beri diskaun 50 peratus kepada peminjam yang ingin melangsaikan hutang mereka secara sekali gus dan ia boleh dilaksanakan dalam tempoh setahun dari sekarang," katanya pada sidang media selepas menghadiri forum Persatuan Pegawai Perancang Bandar dan Desa (PERSADA), di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Datuk Dr Dolbani Mijan; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Norzaton Aimi Mohd Kassim dan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

Berita Harian X