Sabtu, 26 March 2016 | 7:57am

Takut biar bertempat

DUA hari lalu Kunta Kinte sarapan di medan makan dekat Ibu Pejabat Polis Persekutuan, Bukit Aman. Seorang pelanggan ucap tahniah kepada Kunta Kinte. Kunta Kinte tanya, tahniah pasal apa? Dia kata, pasal Datuk berani. Kunta Kinte kata, nak takut apa kita bukan berada dalam hutan.

Apabila orang kata Kunta Kinte berani, Kunta Kinte hairan. Adakah tahap ketakutan di negara kita begitu tinggi dan ancaman ke atas kebebasan bersuara begitu besar? Teringat Kunta Kinte masa kanak-kanak dahulu. Masa itu, kalau boleh kita tak akan lalu dekat balai polis pasal takut kena tangkap. Tak buat salah pun kita takut pasal kita dimomok-momokkan dengan cerita polis tangkap orang dan masukkan ke dalam lokap.

Takut kepada manusia ada had

Tak salah kita berasa takut. Ada orang kata, takut adalah satu motivasi. Tapi takut kita itu biarlah ada sebab, tempat dan batasan. Takut kepada larangan Tuhan itu wajib. Takut kepada sekatan undang-undang perlu. Tapi takut kepada sesama manusia wajib ada hadnya.

Kalau nak takut, memang ada sahaja sebab. Malah, ada masa dan tempat kita boleh dapat balasan baik dan habuan besar dengan tunduk kepada ketakutan. Tapi kita boleh rugi kerana berani.

Selepas krisis Datuk Seri Anwar Ibrahim kena pecat daripada UMNO dan kerajaan pada 1998, Kunta Kinte diancam oleh seorang kepercayaan kerajaan masa itu. Dia ancam nak tuduh Kunta Kinte pecah amanah bersabit perniagaan yang Kunta Kinte wakili.

Ironinya, dia dan Kunta Kinte pernah pada pihak yang sama - pernah rapat dengan Anwar. Malah, bila orang ini jatuh, Anwar yang masa itu jadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan selamatkan dia. Ditakdirkan Anwar jatuh, dia naik. Kunta Kinte kata, terpulanglah kepada dia kerana Kunta Kinte yakin Kunta Kinte tak buat kesalahan yang dia ancam itu. Tapi Kunta Kinte tak diam macam itu sahaja. Kunta Kinte bagi tahu bos dia berkenaan ancaman itu.

Orang itu jadi begitu berpengaruh sampai hal ehwal media massa pun dia boleh masuk campur. Lepas itu barulah Kunta Kinte tahu yang ancaman adalah cara dia dapatkan sokongan dan taat setia. Kerana bos dia sangat percaya kepada dia, dia dibagi kuasa ambil alih dan susun semula banyak syarikat milik Bumiputra dan UMNO yang alami masalah hutang akibat krisis kewangan Asia 1997/98.

Orang ini adalah survivor yang sangat hebat. Dia berpengaruh dari zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sampailah hari ini. Itu nasib dialah. Hanya Allah sahaja tahu penghujung cerita setiap makhluknya. Kunta Kinte pun tak gaduh dengan dia.

Kena siasat BPR

Lebih kurang pada masa yang sama, Kunta Kinte kena soal siasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) - pendahulu Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) - sebagai saksi kes akuan berkanun seorang bekas pegawai bank yang buat beberapa tuduhan terhadap Anwar. Memang gerun. Setiap sesi beberapa jam lamanya. Semuanya hampir 20 jam.

Jadi kalau kita tunduk kepada perasaan takut atau kita memang seorang penakut, banyak benda kita tak berani buat, walaupun ia hak kita dan kita di pihak yang benar. Kalau zaman dahulu, takut keluar rumah waktu malam alamatlah kerbau, lembu, ayam dan itik habis kena sapu oleh pencuri dan penyangak. Zaman sekarang motosikal atau tayar kereta yang kena curi.

Dalam sistem demokrasi yang kita amalkan, kita dibagi hak bersuara dan berhimpun secara aman. Kalau kita takut atau kita ingat kepada periuk nasi kita saja, lama-kelamaan hilanglah hak itu. Dalam Perlembagaan ada, tapi dalam amalan tak ada.

Natijahnya, bukanlah sangat soal berani atau takut tapi sama ada kita peduli atau tidak kepada amanah Allah dan sama ada kita lebih takut kepada manusia atau kepada Tuhan. Wallahuaklam.

Berita Harian X