Sabtu, 26 March 2016 | 12:59pm

Bakat baru beri saingan ABPBH 29

PELAKON, Janna Nick. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Kebangkitan beberapa nama bakat baru di kalangan pelakon wanita dapat dilihat ketika ini dan nama seperti Janna Nick serta Mira Filzah antara yang ketara.

Mereka menjadi pilihan pengarah, penerbit dan produksi menerajui drama dan telefilem. Jadi kemaraan Janna dan Mira sebagai calon top 5 Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 29 bukan sesuatu yang mengejutkan.

Ia sendiri menjadi pencalonan sulung Janna menerusi anugerah kebanggaan BH ini. Selain Mira, kehadiran Ruhainies yang baru memenangi kategori Antagonis Pilihan di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2016 baru-baru ini juga dilihat sebagai pesaing hebat kategori itu.

Dua lagi nama yang dicalonkan dalam kategori sama ialah Nana Sheme dan Falisha Crossley.

Janna dihubungi BH Online menerusi aplikasi WhatsApp hari ini dan sedang berada di Paris melunaskan baki penggambaran drama bersiri Suami Tanpa Cinta, terbitan Pena Creative, di sisi Shukri Yahaya menjelaskan cukup terharu dan bersyukur kerana namanya teguh diundi peminat termasuk yang menggelarkan diri mereka sebagai Janna Nicker.

Malah Janna sempat memuat naik semula gambar senarai calon top 5 kategori mempertandingkan namanya itu di laman Instagram.

"Syukur... rasa kecil sangat diri ini terpilih sebagai top 5 ABPBH 29. Dapat top 5 pun saya sudah bersyukur sangat. Terima kasih pihak ABPBH 29 dan BH atas pencalonan ini. Terima kasih peminat termasuk Janna Nicker yang mengundi," katanya.

Pemenang kategori Aktres Pilihan dan Pasangan Pilihan (bergandingan dengan Saharul Ridzwan) menerusi drama Kau, Aku Kita itu sebenarnya cukup bertuah kerana mempunyai kelompok peminat yang terus setia menyokong kerjaya seninya. Gadis dari Sungai Petani, Kedah ini mula berlakon secara sambilan sejak lima tahun lalu, namun benar-benar aktif menceburi bidang seni sejak 2015.

"Janna Nicker memang sangat menyokong. Ke mana saja saya pergi dan berada, ada saja di antara mereka yang hadir memberikan sokongan. Tapi peminat saya ini bukan di kalangan orang kaya sebenarnya. Kalau undi secara online itu saya tahu mereka rajin melakukannya. Tapi untuk mengundi di atas surat khabar... memang saya kurang pasti.

"Undi melalui medium surat khabar ini pastinya menggunakan duit. Saya sendiri tak suka membebankan peminat. Tapi dengan rasa rendah hati, saya bersyukur masih ada yang sudi mengundi di ABPBH 29. Saya nampak usaha mereka menyokong saya. Tapi untuk saya berlawan sekali lagi di peringkat top 5 dengan calon lain, memang saya tak letak harapan tinggi.

"Saya selalu cakap yang tak harap duit peminat. Nak undi beli surat khabar ini bukanlah jumlah yang kecil. Bayangkan kalau beli surat khabar dalam volum yang banyak. Sekalipun harga senaskhah beberapa ringgit sahaja tapi kalau dikalikan dengan jumlah yang banyak... ia memang babit kos yang tinggi," katanya.

Realistik bahawa ABPBH bukan bersandar kepada bakat semata-mata kerana ia membabitkan undian 100 peratus, lalu pelakon yang mula meledak menerusi drama Syurga Nur di TV3 itu hanya mampu berserah. Katanya, dia akan cuba mewar-warkan dan melobi namanya di laman sosial kepada peminat.

"Tapi saya memang tak akan paksa peminat mengundi saya," katanya.

Berita Harian X