Sabtu, 26 March 2016 | 3:13pm

Yayasan Albukhary tambah mesin hemodialisis

ALOR SETAR: Yayasan Albukhary akan menambah bilangan mesin hemodialisis di pusat dialisis miliknya di sini, bagi menampung keperluan susulan peningkatan jumlah pesakit yang menerima rawatan di pusat itu sejak tujuh tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Thomas Ong Keat Siew, berkata setakat ini terdapat 18 mesin dialisis di pusat berkenaan, tetapi ia masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah pesakit yang ramai.

Justeru, beliau berkata, pihaknya bercadang menambah 18 lagi mesin dialisis, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 36 mesin terbabit disediakan di pusat berkenaan pada tahun ini.

"Sejak Pusat Dialisis Albukhary beroperasi pada tahun 2009, kami menawarkan perkhidmatan rawatan dialisis kepada pesakit kurang berkemampuan secara percuma.

"Dengan adanya penambahan mesin dialisis ini, diharap ia mampu membantu mengurangkan kesesakan di hospital dan klinik kerajaan," katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Negeri Kedah dan Sambutan 20 Tahun Penubuhan Yayasan Albukhary, di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Harif Fadzilah Che Hashim. Sepanjang dua hari, kira-kira 1,000 pengunjung menyertai pelbagai aktiviti diadakan seperti pameran kesihatan, derma darah, pertandingan mewarna dan saringan kesihatan.

Sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia itu juga, Yayasan Albukhary menganjurkan kempen kesedaran penjagaan buah pinggang di Souq Al-Bukhary.

Dr Thomas berkata, kempen yang dijalankan selama dua hari itu menyasarkan usaha meningkatkan kesedaran penjagaan buah pinggang dari peringkat kanak-kanak bersesuaian dengan tema 'Penyakit Buah Pinggang dan Kanak-kanak'.

Beliau berkata, pihaknya ingin memberi pendedahan awal khususnya kepada golongan ibu bapa berhubung kepentingan penjagaan kesihatan dan pencegahan penyakit buah pinggang dari peringkat kecil lagi.

Katanya, penyakit buah pinggang bukan saja dihidapi golongan dewasa, malah turut membabitkan kanak-kanak jika tiada langkah penjagaan awal diambil.

"Masyarakat sering memandang remeh penyakit buah pinggang. Selain faktor keturunan, pemakanan dan gaya hidup tidak sihat juga mengundang kepada penyakit ini.

"Jadi, pendedahan awal ini diyakini dapat memberi didikan kepada masyarakat untuk menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X