Sabtu, 26 March 2016 | 3:54pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengedarkan beg cenderamata kepada penumpang di Stesen Keretapi Ipoh sempena majlis pelancaran Tahun Melawat Perak 2017. - Foto L Manimaran
DATUK Seri Dr Zambry Abd Kadir memasang bendera mempromosikan Tahun Melawat Perak 2017 pada majlis pelancarannya di pekarangan Stesen Keretapi Ipoh hari ini. - Foto BERNAMA

Tahun Melawat Perak 2017 sasar 7 juta pelancong

IPOH: Perak menyasarkan kehadiran tujuh juta pelancong sempena penganjuran Tahun Melawat Perak 2017 pada tahun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata daripada jumlah itu, 500,000 pelancong yang hadir adalah pelancong asing, manakala selebihnya pelancong domestik.

Katanya, pelancong dari Eropah dan beberapa negara Asia terutama China serta Singapura menjadi antara sasaran utama pelancong asing yang dijangka berkunjung ke Perak sempena program itu yang menawarkan pelbagai acara dan pakej menarik.

"Kita menyasarkan kehadiran lebih ramai pelancong asing ke negeri ini berbanding tahun sebelumnya.

"Dianggarkan seramai 300,000 hingga 400,000 pelancong asing datang mengunjungi negeri ini tahun lalu dan jumlah itu akan dipertingkatkan sehingga 500,000 orang melalui pelbagai pakej pelancongan ditawarkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Tahun Melawat Perak 2017 di Stesen Kereta Api Ipoh, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Sementara itu, Zambry turut mengingatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri supaya mempertingkatkan kebersihan tandas awam yang menjadi antara penanda aras utama tahap kebersihan negeri.

Katanya, tandas awam yang tidak diselenggara dengan baik dan tidak bersih akan memberikan imej negatif kepada negeri, seterusnya memberi gambaran buruk kepada tahap kebersihan negeri.

"Setiap pihak perlu memastikan kawasan pelancongan utama diberi penekanan dalam aspek kebersihan.

"Saya sudah memaklumkan kepada semua majlis daerah dan perbandaran berhubung hal itu kerana mahu Perak diberi kategori sebagai negeri bersih dari aspek kawasan persekitaran dan jalan serta tempat pelancongan utama yang ditawarkan," katanya.

Berita Harian X