Sabtu, 26 March 2016 | 10:26pm

Qari Kelantan, qariah Johor johan tilawah kebangsaan

WAN Ainuddin (kiri) dan Nor Azrah dinobatkan sebagai juara Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-59 bagi Tahun 1437H/2016M. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dari Kelantan berjaya mempertahankan kejuaraannya pada Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-59 yang berakhir di sini malam ini.

Nor Azrah Ayub dari Johor muncul johan qariah.

Dengan itu, Wan Ainuddin Hilmi dan Nor Azrah dipilih mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa pada 2 hingga 7 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Mereka menerima hadiah wang tunai RM15,000, piala iringan, sebuah kereta Proton Exora, pakej menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Naib johan, tempat ketiga dan saguhati masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000, RM7,500 dan RM3,000, cenderamata dan sijil penyertaan.

Penyampaian hadiah bagi qari disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor manakala bagi qariah disampaikan isterinya, Datin Seri Anggraini Sentiyaki.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Berita Harian X