Ahad, 27 March 2016 | 12:03am
GUNUNG Pulai di Kampung Pekan Lama Pulai. - Foto Sharul Hafiz Zam

Gua di Gunung Pulai menarik tetapi terbiar


BALING: Memasuki pekan Baling, mata akan tertumpu kepada Gunung Pulai yang memiliki tarikan tersembunyi yang tidak banyak diketahui ramai.

Ia memiliki lokasi tarikan pelancong, tetapi dipedulikan oleh pihak berkuasa.

Dikelilingi lapan gua yang masih kekal dengan keaslian semula jadi selain disusuri sebahagian Sungai Ketil, menjadikan Gunung Pulai cukup istimewa sebagai khazanah alam yang unik.

Daripada lapan gua terbabit, Gua Tok Sheikh dianggap paling menarik kerana dikatakan menjadi bukti kewujudan kelompok manusia Hoabinhian ketika zaman prasejarah sekitar 6,000 hingga 8,000 tahun sebelum masihi.

Selain Gua Tok Sheikh yang menyimpan pelbagai artifak prasejarah, tujuh lagi gua yang menghuni Gunung Pulai dengan ketinggian 616 meter (m) ini ialah Gua Layang-Layang, Gua Gelap, Gua Kelambu, Gua Tembus, Gua Matahari, Gua Kambing dan Gua Ikan.

LALUAN masuk ke Gunung Pulai di Kampung Pekan Lama Pulai. - Foto Sharul Hafiz Zam

Penulis yang berkesempatan menjelajah satu daripada lapan gua unik di Gunung Pulai tergamam dengan keindahannya terutama pelbagai bentuk yang terhasil daripada stalaktit dan stalakmit yang kelihatan seperti seekor gajah, seorang wanita, lelaki dan bayi serta kepala ular sawa.

Tidak hairanlah nama Gunung Pulai semakin meniti bibir kumpulan pencinta alam semulajadi, walaupun semua lapan gua terbabit masih belum diterokai atau dipromosi sebagai tarikan pelancong.

Menariknya, aktiviti di Gunung Pulai bukan sekadar membabitkan mendaki atau menjelajah semata-mata, malah pengunjung juga berpeluang melakukan aktiviti kayak di sebahagian 50 kilometer (km) Sungai Ketil.

Kira-kira 500m melalui laluan kampung dari jalan utama di Kampung Paya Pulai, Gunung Pulai menjadi lokasi sempurna bagi pencinta alam khususnya pelajar untuk merasai pengalaman mendaki dan menikmati pemandangan matahari terbit dari atas gunung.

Walaupun tidak dikomersialkan atau dinaik taraf sebagai pusat rekreasi, kuasa promosi melalui laman sosial menyebabkan Gunung Pulai mampu menarik kedatangan pelancong tempatan dan luar negara dengan hanya berbekalkan kelebihan semulajadi.

MOHD Nazri menunjukkan batu kapur yang menyerupai bentuk seekor gajah di Gua Kelambu Gunung Pulai. - Foto Sharul Hafiz Zam

MOHD Nazri menunjukkan batu nisan kubur 'Tok Bandar' di laluan masuk ke Gua Kelambu Gunung Pulai. - Foto Sharul Hafiz Zam

Penduduk kampung, Mohd Nazri Hamid, 41, berkata sejak Gunung Pulai mula popular di laman sosial, lokasi itu berupaya menarik sehingga 80 pengunjung tempatan dan luar negara sehari khususnya pada hujung minggu.

Dia yang juga malim gunung, berkata kebanyakan pengunjung ditemui mengakui mengenali Gunung Pulai melalui maklumat dari mulut ke mulut selain disebarkan di laman sosial.

Sejak itu, katanya dia yang sebelum ini hanya bergantung kepada kerja kampung sebaliknya memperoleh pendapatan sampingan sebagai pembawa pelancong ke puncak gunung.

Dengan kebolehan mengenali selok-belok laluan ke Gunung Pulai berikutan menjadi anak jati Kampung Setol, Pulai, sejak lahir lagi, Mohd Nazri berkata, ia memberi pendapatan buatnya apabila boleh meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM200 setiap kali membawa pelancong naik ke Gunung Pulai.

"Selalunya pendaki lebih gemar memulakan perjalanan naik ke gunung seawal jam 3 pagi untuk menyaksikan matahari terbit sambil menghabiskan masa beberapa jam di atas sebelum turun, " katanya.

Nazri berkata, secara keseluruhan terdapat sekurang-kurangnya 20 malim gunung di sekitar Pulai yang mempunyai peranan masing-masing membawa pengunjung.

LALUAN utama ke Gua Gelap yang terletak di Gunung Pulai. - Foto Sharul Hafiz Zam

Katanya, kepakarannya berhubung selok belok di kawasan pergunungan itu sering kali digunakan pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mencari pengunjung yang sesat ketika menaiki puncak tanpa pengawalan individu yang pakar.

Selain memiliki gua sebagai tarikan, kelebihan menyimpan pelbagai khazanah alam yang ada di Gunung Pulai memberikan rahmat buat masyarakat sekitar dari segi mendapatkan pendapatan dengan mencari hasil hutan.

Penduduk sekitar mampu memperoleh bekalan baja organik, hasil buangan burung layang-layang dalam Gua Layang-Layang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Pulai Lama, Mohd Desa Murad, 58, berkata bagi seguni baja organik itu, penduduk kampung boleh menjualnya di pasaran pada harga RM18.

Beliau berkata, ada juga penduduk kampung yang masuk ke kawasan hutan di sekeliling Gunung Pulai bagi mencari pokok paku haji yang sememangnya terkenal dan mendapat permintaan tinggi.

Katanya, bagi sebatang pokok paku haji kebiasaannya mereka boleh menjualnya pada harga lumayan sekitar RM200 hingga RM300, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi mereka.

GUA Tok Sheikh menjadi tempat pengkaji sejarah melakukan kajian di Gunung Pulai. - Foto Sharul Hafiz Zam

"Secara keseluruhan penduduk boleh mencari makan melalui tiga cara di kawasan pergunungan ini iaitu dengan menjadi malim gunung, mencari baja organik atau paku haji.

"Sehingga kini ia sudah membantu dan memanfaatkan sekurang-kurangnya 30 penduduk kampung yang bekerja sendiri dan mengharapkan hasil hutan bagi menyara kehidupan mereka, " katanya yang ditemui di sini.

Malah antara limpahan lain yang dinikmati penduduk sekitar termasuk perniagaan inap desa dan kemudahan menyewa kayak yang dimanfaatkan oleh kumpulan yang menggemari sukan air dan lasak.

Sehubungan itu, katanya penduduk dari empat buah kampung di bawah Pekan Pulai Lama supaya kerajaan negeri melalui agensi sedia ada menaik taraf Gunung Pulai sebagai pusat rekreasi.

Mohamad Faizzul Izwan Mohd Rosdi, 20, yang menyifatkan Gunung Pulai mempunyai potensi untuk terkenal di persada antarabangsa sekiranya beberapa inisiatif dijalankan kerajaan negeri.

SUNGAI Ketil yang terletak di bawah Gunung Pulai menjadi tempat tarikan bagi penduduk Kampung Pekan Lama Pulai untuk bermandi-manda. - Foto Sharul Hafiz Zam

Bagaimanapun katanya, apabila adanya usaha menaik taraf itu kelak, dia berharap ia sama sekali tidak memusnahkan khazanah alam yang ada kerana itu adalah kekuatan sebenar di Gunung Pulai.

"Saya sebagai penduduk jati di sini juga terpana ketika menaiki Gunung Pulai bagi menyaksikan pemandangan dari atas dan saya yakin pelancong turut mempunyai perasaan sama, " katanya.

Penduduk Kampung Tanjung Merbau, Rozni Mohd Rosdi, 36, yang mahu pelbagai kemudahan baharu disediakan di sini termasuk aktiviti memanjat gunung (wall climbing), payung terjun, sukan berakit dan berbasikal.

Malah, katanya tidak keterlaluan jika kerajaan negeri membina projek kereta kabel antara Gunung Pulai dan Gunung Baling seperti di Langkawi kerana ia pada masa panjang mampu melonjakkan sektor pelancongan di Kedah. Ikuti siri kedua esok.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X