Ahad, 27 March 2016 | 12:04am
MARSHA akui dihimpit kecewa apabila percubaan demi percubaan memperkasakan bakat nyanyian dipandang sepi. - Foto Malai Rosmah Tuah
MARSHA dan Mohamed Shaiful berkenalan lebih 10 tahun lalu, tetapi hanya serius bercinta mulai tahun 2013. - Foto Instagram
SINGLE terbaharu Marsha menceritakan perjalanan hidup yang dilaluinya selepas berumah tangga. - Foto Instagram

'Sudah Ku Temui' cerita rumah tangga Marsha


KUALA LUMPUR: Kali terakhir merakamkan single, tiga tahun lalu menerusi lagu runut bunyi filem Frozen, Bebaskan, Marsha Milan Londoh mengakui dirinya pernah dihimpit kecewa apabila percubaan demi percubaan untuk memperkasakan bakat nyanyiannya dipandang sepi.

Bakat yang diperkenalkan menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim ketiga itu tidak menafikan, banyak pihak menganggap dirinya merajuk dan tidak berminat meneruskan lagi kerjaya nyanyian apabila perjalanan seninya lebih cenderung kepada aktiviti pengacaraan serta lakonan.

"Memang saya terkilan apabila beberapa percubaan sebelum ini kurang mendapat sokongan, terutama dari stesen radio komersial. Tidak tahu di mana salah dan silapnya, mungkin juga lagu yang dirakamkan tidak begitu kuat tarikan komersial hingga kurang diberi perhatian.

"Saya masih mahu menyanyi, malah tetap menerima undangan persembahan cuma tidak konsisten. Sering juga saya bertanya kepada diri sendiri, apakah langsung tidak mempunyai ruang untuk memperkenalkan bakat nyanyian sedangkan saya bermula sebagai penyanyi?," katanya keliru.

Marsha, 30, mengakui sering didekati peminat yang ingin mendapatkan kepastian apakah dirinya masih berminat merakamkan lagu atau sudah meletakkan noktah kepada kerjaya nyanyian terutama apabila sudah lama tidak mempunyai single untuk diperkenalkan.


MARSHA masih mahu menyanyi, malah tetap menerima undangan persembahan cuma tidak konsisten. - Foto Aziah Azmee

"Peminat mungkin keliru hingga menganggap saya tidak lagi minat menyanyi, apatah lagi saya lebih sibuk dengan lakonan. Bukan hanya peminat, malah stesen radio juga pernah bertanyakan soalan yang sama kerana saya lebih menyerlah sebagai pelakon.

"Saya tidak salahkan mereka apabila mempunyai tanggapan seperti itu kerana semuanya berpunca daripada diri sendiri yang lebih memberi fokus kepada kerjaya lakonan," katanya.

Tidak mahu kekeliruan itu berlarutan, Marsha nekad untuk kembali dengan memperkenalkan single terbaharu. Andai dulu, fokus diberikan penuh untuk memastikan lagunya mendapat tempat di stesen radio tetapi kali ini, Marsha cuba mempelbagaikan saluran promosi.

Platform media sosial seperti laman YouTube, Instagram dan Facebook kini menjadi sasaran utama Marsha untuk memperluaskan lagi cabang promosi single terbaharunya. Ia secara tidak langsung, memberi semangat baharu kepadanya supaya tidak terlalu awal meletakkan noktah kepada kerjaya nyanyian.

Menerusi Sudah Ku Temui yang dipertaruhkan sebagai single terbaharu, Marsha juga berharap kekeliruan ramai akan berakhir kerana dirinya dan nyanyian tidak dapat dipisahkan.


SINGLE "Sudah Ku Temui" bersifat peribadi kerana dihasilkan sendiri oleh Marsha. - Foto Instagram

"Saya banyak belajar daripada kesilapan lalu. Mungkin dulu, fokus saya hilang apabila melakukan pelbagai kerja serentak tetapi dengan adanya Sudah Ku Temui, tumpuan penuh diberikan kepada bidang nyanyian. Saya juga mewujudkan hashtag, #sudahkutemui di Instagram supaya peminat menyedari kemunculan lagu ini," katanya.

Bercerita lanjut mengenai lagu terbabit, isteri kepada ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail berkata, single terbaharunya itu menceritakan perjalanan hidup yang dilaluinya selepas berumah tangga.

"Ia berkisar mengenai kehidupan saya selepas menjadi isteri. Mungkin sebelum ini tidak banyak yang saya kongsi mengenai perkahwinan kami, namun menerusi Sudah Ku Temui, ia memberi jawapan kepada peminat mengenai perjalanan saya dan suami menuju bahagia.

"Lagu ini bersifat peribadi kerana dihasilkan sendiri sebagai penghargaan dan lambang kasih sayang untuk suami," katanya.

Akan terlebih dulu mempromosikan single itu di Sabah, Marsha turut merancang untuk menjelajah Semenanjung Malaysia supaya kehadiran Sudah Ku Temui memberi impak kepada kerjayanya.


MARSHA dan Mohamed Shaiful diijab kabulkan di kediaman pengantin lelaki di Pulau Pinang

Lebih istimewa, Marsha akan tampil bersama muzik video yang menyelitkan rakaman majlis persandingannya yang berlangsung pada 31 Disember lalu.

Marsha dan suami diijab kabulkan di kediaman pengantin lelaki di Pulau Pinang, manakala majlis resepsi disempurnakan di dua lokasi iaitu Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Pasangan itu berkenalan lebih 10 tahun lalu, tetapi hanya serius bercinta mulai tahun 2013.

Sementara itu, bertanya mengenai kerjaya lakonannya, Marsha memberitahu, ingin berehat seketika namun tidak akan menolak jika menerima tawaran yang memenuhi minatnya.

Pada masa sama, Marsha tetap ingin meneruskan kerjaya pengacaraan meskipun caranya ketika mengendalikan program realiti, Mentor Milenia, baru-baru ini dikritik hebat.

Berita Harian X