Ahad, 27 March 2016 | 3:15pm

Pembonceng maut motosikal terbabas

KAMPAR: Seorang pembonceng wanita maut manakala penunggangnya parah apabila motosikal yang mereka tunggangi terbabas di Kilometer 306.8 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, Nanih Usman, 21, dari Jalan Apas, Tawau, Sabah, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada kepala dan beberapa bahagian tubuhnya.

NANIH Usman. - Foto emel
NANIH Usman. - Foto emel

Penunggang motosikal, pekerja kedai elektrik, Nur Izzwan Musa, 19, dari Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, yang menyambut hari jadinya hari ini, parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh apabila penunggangnya gagal mengawal motosikalnya setiba di tempat kejadian dan terbabas ke bahu kiri jalan.

"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal parah dan dihantar ke HRPB manakala pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X