Ahad, 27 March 2016 | 7:18pm

Skuad bola jaring sasar pingat emas Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) akan memastikan proses pemilihan pemain skuad Sukan SEA dilakukan dengan terperinci bagi memastikan sasaran pingat emas tercapai pada penganjuran sukan serantau itu di sini, tahun hadapan.

Presiden PBJM, Datuk Suraya Yaacob berkata sehingga kini 24 pemain bola jaring telah mengikuti kem latihan pusat dan pihaknya akan memilih 16 pemain tambahan lagi untuk turut serta dalam kem berkenaan.

"Pemain tambahan itu akan menjadi rakan sepelatih kepada 24 atlet sedia ada ini dan kita akan pilih yang terbaik daripada 40 pemain itu untuk wakili negara ke Sukan SEA," katanya.

Suraya berkata kepada pemberita selepas perlawanan akhir Kejohanan Bola Jaring Remaja Kebangsaan ke-32 di Stadium Juara, Bukit Kiara, menyaksikan Johor muncul juara selepas menewaskan Selangor 52-48 sekali gus menamatkan kemarau 14 tahun tanpa gelaran juara sejak 2002.

Suraya berkata jurulatih dari Australia, Tracy Robinson yang dilantik sejak tiga bulan lalu akan turut serta pada sesi pemilihan pemain kebangsaan nanti.

Katanya, Robinson juga diamanahkan untuk membimbing ketua jurulatih pasukan bola jaring negeri bagi memperbaiki corak permainan pasukan negeri.

"Kami harap kehadiran Robinson dapat memberi impak positif pada prestasi skuad kebangsaan dalam jangka masa enam bulan akan datang," katanya.

Dalam perkembangan lain, skuad bola jaring kebangsaan akan menyertai Kejohanan Bola Jaring Asia di Bangkok pada Ogos ini bagi memperkukuhkan ranking dunia Malaysia.

Berdasarkan Persekutuan Bola Jaring Antarabangsa (INF) setakat Ogos 2015, Malaysia berada di kedudukan ke-22 dunia. -BERNAMA

206 dibaca
Berita Harian X