Ahad, 27 March 2016 | 10:13pm

Tema tradisional pilihan Jihan, Ungku Hariz

PASANGAN pelakon, Jihan Muse dan Ungku Hariz. - Foto ihsan Two-pi
PASANGAN pelakon, Jihan Muse dan Ungku Hariz. - Foto ihsan Two-pi

SHAH ALAM: Pasangan pelakon, Jihan Muse, 33, dan Ungku Hariz, 31, diraikan dalam satu lagi majlis resepsi bertemakan tradisional di Menara NAZA TTDI, di sini, malam ini.

Pasangan merpati dua sejoli itu kelihatan sama cantik sama segak dengan busana berwarna kuning ciptaan pereka, Man Kajang.

Jihan atau nama penuhnya, Nuur Jihan Musa dan Ungku Hariz diarak masuk dengan paluan kompang dan bacaan selawat. Majlis resepsi selebriti wanita itu meriah di bawah kendalian pengacara Nabil Ahmad.

Lebih manis, Jihan memilih teman rapatnya yang terdiri daripada rakan selebriti antaranya Zara Zya, Sharifah Sakinah, Fara Fauzana, Elfira Loy dan Nad Zainal sebagai pengiring.

Mereka kelihatan anggun memakai persalinan songket berwarna putih.

Antara barisan artis yang turut memeriahkan majlis adalah Erra Fazira, Johan Raja Lawak, Ella, Zain Saidin, Datuk Aznil Nawawi, Yana Samsuddin, Dafi, Sharifah Shahira, Rahim Sepahtu, Raja Azura, Zain Hamid, Faezah Elai, Achey dan ramai lagi.

Terdahulu, pasangan mempelai dinikahkan dalam sebuah majlis sederhana yang dihadiri oleh teman rapat dan keluarga kedua belah pihak pada 20 Mac lalu di Laman Kayangan, di sini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X