Ahad, 26 Oktober 2014 | 8:04pm

APMM tahan lima nelayan Indonesia ceroboh perairan Pulau Pinang

ANGGOTA APMM Daerah Maritim 2 Pulau Pinang melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan Zon B yang ditahan pada kedudukan 43 batu nautika selatan Pulau Kendi dekat sini, semalam. - Foto ihsan APMM

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 2 Pulau Pinang menahan lima nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negeri ini pada jarak 43 batu nautika selatan Pulau Kendi dekat sini, semalam.

Ketua Penguatkuasanya Kapten Maritim, Kamaruszaman Abu Hassan berkata, seorang tekong dan empat awak-awak berusia antara 20-an dan 40-an itu ditahan ketika anggotanya membuat rondaan pukul 12 tengah hari.

"Mereka kemudian dibawa ke ke Jeti Limbungan Batu Maung dan kesemua peralatan memancing, bot serta 700 kilogram hasil tangkapan pelbagai jenis disita," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, nelayan asing terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntuk denda maksimum RM1 juta bagi tekong dan RM100,000 bagi setiap awak-awak, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, sebuah lagi bot Zon B ditahan kerana melanggar syarat memukat ikan di 5.5 batu nautika barat Pulau Kendi, pukul 12.45 tengah hari semalam.

Kamaruszaman berkata seorang tekong dan dua awak-awak bot itu turut ditahan bagi membantu siasatan atas kesalahan menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang lapan batu nautika dari pantai.

Katanya bot itu ditunda ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Batu Maung manakala sejumlah 200 kilogram ikan campur dan 150 kilogram ikan baja dirampas. - BERNAMA

Berita Harian X