Isnin, 28 March 2016 | 7:26am

Romania-Sepanyol terikat tanpa jaringan

PEMAIN pertahanan Sepanyol, Gerard Pique (tengah) dan pemain Romania, Ovidiu Stefan Hoban bersaing pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Cluj Napoca, Romania, awal pagi tadi. - Foto AFP

CLUJ-NAPOCA (Romania): Penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas menyamai rekod penampilan antarabangsa terbanyak untuk pemain Eropah awal pagi tadi ketika juara dua kali Euro itu seri 0-0 berdepan Romania di Cluj, awal pagi tadi.

Casillas, yang membuat kemunculan pertama bersama pasukan kebangsaan pada Jun 2000, kembali selepas tidak bermain Khamis lalu ketika seri 1-1 di Itali untuk berkedudukan sama dengan bekas pemain tengah Latvia, Vitalijs Astafjevs dengan 166 penampilan.

Pemain tengah Barcelona, Sergi Roberto pula diberikan penampilan pertama Sepanyol ketika Vicente del Bosque melakukan perubahan menyeluruh kepada pasukan yang bermain di Udine tiga hari lalu, berbaki dua bulan sebelum perlawanan pembukaan Euro 2016.

Gerard Pique dan Pedro Rodriguez menguji penjaga gol Romania, Ciprian Tatarusanu pada awal permainan manakala Casillas - yang masih jauh daripada rekod pemain Mesir, Ahmed Hassan dengan 184 penampilan antarabangsa - dua kali menyelamatkan cubaan Nicolae Stanciu.

Pique melakukan cubaan terus kepada Tatarusanu selepas rehat babak pertama selepas menerima hantaran sepakan sudut, namun pertahanan Romania yang hanya melepaskan hanya dua gol dalam 10 perlawanan kelayakan, agak sukar ditembusi. - AFP

Berita Harian X