Isnin, 28 March 2016 | 2:23pm

4 stesen baharu LRT beroperasi Jumaat ini

PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz. - Foto Zunnur Al Shafiq
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz. - Foto Zunnur Al Shafiq

PUCHONG: Empat lagi stesen baharu Transit Aliran Ringan (LRT) aliran Ampang membabitkan stesen IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong dan Bandar Puteri, akan mula beroperasi Jumaat ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Azmi Abdul Aziz, berkata ia berikutan pembukaan empat stesen bagi laluan Ampang pada Oktober tahun lalu.

Katanya, pembukaan itu akan menyaksikan lapan daripada 11 stesen baharu di bawah Projek Penyambungan Jajaran LRT (LEP) laluan Ampang akan beroperasi sepenuhnya.

"Baki tiga lagi stesen iaitu Puchong Perdana, Puchong Prima dan Putra Heights dijangka siap dan beroperasi menjelang Jun depan," katanya pada sidang media Taklimat LEP laluan Ampang di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPD), Tan Sri Syed Hamid Albar; CEO SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah; CEO Projek Rel dan Infrastruktur Prasarana Sdn Bhd, Datuk Zohari Sulaiman dan CEO Rapi Rail Prasarana, Ahmad Nizam Mohamed Amin.

Terdahulu, tetamu dan media dibawa menaiki LRT melalui keempat-empat stesen baharu itu bagi melihat sendiri kemajuan dan fizikal stesen itu yang sudah hampir 100 peratus siap.

Pada 31 Oktober tahun lalu, LEP laluan Ampang dibuka secara rasmi apabila stesen Awak Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5, mula beroperasi.

Berita Harian X