Isnin, 28 March 2016 | 6:27pm

Sunway Construction dapat pakej bina laluan MRT SSP


Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menganugerahkan Pakej Kerja Jejambat V201 bagi pembinaan Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) bernilai RM1.21 bilion kepada Sunway Construction Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar, berkata di bawah pakej kerja itu, kontraktor akan membina dan menyiapkan jejambat dan kerja lain berkaitan bagi sebahagian jajaran bertingkat Laluan MRT SSP sepanjang 4.9 kilometer (km) dari Sungai Buloh ke Persiaran Dagang.

Katanya, penganugerahan itu dibuat pada satu mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Sehenti (OSPC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Ini adalah pakej kerja jejambat kedua yang dianugerahkan bagi pembinaan Laluan SSP selepas penganugerahan Pakej Kerja V202 minggu lalu kepada Ahmad Zaki Sdn. Bhd.

"Kedua-dua kontraktor ini akan dapat membersihkan tapak-tapak mereka dan menggerakkan jentera mereka untuk memulakan kerja pembinaan tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan di sini.

Shahril berkata, ia adalah satu perkembangan yang amat baik dan beliau yakin projek itu akan menepati jadual ditetapkan dengan memastikan Fasa 1 Laluan SSP mula beroperasi pada suku kedua tahun 2021 dan seluruh laluan pada suku kedua tahun 2022.

Katanya, semua tender yang berjaya dipilih berdasarkan penilaian tender terbaik dengan tender yang dinilai berdasarkan aspek teknikal dan komersial.

"Ini bermakna tender yang berjaya tidak semestinya tender dengan harga yang paling rendah. Bagaimanapun, saya boleh menyatakan bahawa penilaian tender terbaik bagi pakej kerja ini juga adalah tender dengan harga paling rendah antara empat tender yang dikemukakan," katanya.

Sunway Construction juga adalah kontraktor Pakej Kerja Pakej V4 bagi Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang. Atas dasar itu, syarikat itu telah pralayak untuk memasuki tender bagi Pakej-Pakej Kerja pembinaan jejambat bagi Laluan MRT SSP.

Laluan SSP adalah sepanjang 52.2 km dengan 13.5 km adalah bawah tanah. Ia merangkumi 37 stesen dan 11 daripadanya adalah stesen bawah tanah.

Secara keseluruhannya, terdapat 66 pakej kerja yang ditender untuk pembinaan Laluan SSP. Ini termasuk 10 pakej jejambat, satu pakej kerja-kerja bawah tanah, dua pakej kerja depot, 10 pakej kerja stesen, dan 15 pakej kerja medan tempat letak kereta bertingkat.

Berita Harian X