Isnin, 28 March 2016 | 10:32pm
MISI bantuan Aman Palestin hanya dapat menyalurkan bantuan yang terhad berbanding keperluan pelarian yang terlalu besar. - Foto Al Zahrin Alias
KANAK-KANAK gembira selepas menerima bekalan bantuan daripada petugas kemanusiaan Aman Palestin. - Foto Facebook
DR Zairul Nizam sukarelawan Aman Palestin yang juga pakar bedah orthopedik (kanan) memeriksa kaki seorang anak pelarian yang cedera akibat terkena bom. - Foto Facebook
PENULIS bersama petugas Aman Palestin, Muhd Farhan (kiri) dan seorang kanak-kanak di Jabal 40, Syria. - Foto Facebook
PENULIS (berdiri di atas lori) ketika meninjau sambil membantu petugas mengagihkan sumbangan di kem penempatan Khan Dannun. - Foto Facebook

Kanak-kanak teraniaya akibat konflik Syria


DAMSYIK, Syria: Hanya kerana sebiji coklat, kanak-kanak di sini sanggup mengekori, seolah-olah menjadi pengawal peribadi saya sepanjang berada di kem penempatan Khan Dannun, terletak 30 kilometer di pinggir bandar raya ini.

Mereka mengekori bukan sebab mahukan coklat lagi, sebaliknya kerana terlalu menghargai pemberian saya semata-mata.

Masih terngiang-ngiang ucapan terima kasih kanak-kanak di sini yang menyatakan coklat yang diagihkan kepada mereka sangat sedap.

Ahmad Fatah, 11, bersama dua lagi rakannya setia menemani saya. Malah mereka jugalah menjaga beg dan kasut ketika saya menunaikan solat di Masjid Khan Dannun.

Meskipun tidak fasih berbahasa Inggeris tetapi Ahmad Fatah tetap berusaha berbual, walaupun ada ketikanya saya tidak faham apa yang dia nyatakan.


MISI ke-14 Aman Palestin kali ini bertujuan meninjau keadaan di Syria susulan gencatan senjata diumumkan Februari lalu. - Foto Al Zahrin Alias

"Thank you. Chocolate delicious. I love you," itu ungkapan Ahmad Fatah yang ringkas tetapi penuh bermakna bagi saya.

Mungkin bagi orang lain, coklat tiada apa yang istimewanya, tetapi bagi Ahmad Fatah serta kanak-kanak lain sekitar penempatan pelarian Khan Dannun serta kem lain sekitar Damsyik, peluang menikmati coklat ibarat bonus kepada mereka.

Mungkin sudah lama mereka tidak menikmati coklat walaupun hakikatnya harga ia lebih murah berbanding di Malaysia.

Pengalaman ini membuatkan saya terfikir mengenai kesengsaraan kanak-kanak di Syria yang menjadi mangsa kerakusan orang dewasa mengejar kehendak sendiri sehingga membawa kepada pertumpahan darah.

Keikhlasan mereka membalas budi tidak dapat digambarkan seolah-olah mendapat sebuah rumah, walhal ia hanya sebiji coklat.

Sepanjang 10 hari berada di Syria mengikuti rombongan kemanusiaan Aman Palestin, apa yang dapat saya simpulkan adalah di sebalik peperangan yang melanda, kanak-kanak menjadi mangsa.

Mengikut statistik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), 60 peratus kanak-kanak pelarian di Syria tidak menerima pendidikan yang sewajarnya terutamanya anak-anak pelarian Palestin.


MISI bantuan Aman Palestin di kem penempatan Khan Dannun, Damsyik, Syria. - Foto Al Zahrin Alias

Tidak hairanlah ia menjadi pemandangan biasa melihat kanak-kanak meminta sedekah atau menjual barangan di jalanan sekitar Damsyik.

Mereka adalah golongan yang paling terjejas teruk dalam krisis bersenjata di Syria, masa hadapan mereka juga akan terus dihabiskan di jalanan atau menjadi pelarian.

Sepanjang di sini juga, dapat dilihat isu pendidikan bukan menjadi perkara utama yang harus dibahaskan tidak kiralah dari pihak kerajaan ataupun pihak pemberontak.

Krisis Syria ibarat aliran air yang mengalir dari sungai yang kecil semakin memasuki sungai yang besar sehingga membawa ke laut dan tersebar di seluruh lautan.

Susah untuk menamatkan krisis ini kerana sehingga kini ada lebih 10 kumpulan pemberontak antaranya Daesh; An Nusrah; Ahrar Syam; Ahrar Halab; Jaisy Al Islam; Jaisy Fatah; Akhnaf Baitulmaqdis; Jaisy An Nasr dan Ababil.

Itu baru kumpulan pemberontak, di pihak kerajaan pula mengikut sumber ketenteraan di sini ada lebih 24 unit tentera.

Jika beginilah keadaannya, bagaimana dan bila krisis Syria yang pernah menjadi negara agung empayar Islam suatu masa dahulu bakal berakhir.


ANTARA kanak-kanak yang menerima bantuan oleh Aman Palestin di kem penempatan Khan Dannun, Damsyik. - Foto Al Zahrin Alias

Di sebalik semua kekusutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut, berkata pihaknya akan terus menyalurkan bantuan yang diperlukan pelarian di Syria terutamanya dari aspek pendidikan dan kesihatan.

Awang Suffian berkata, isu Syria ini terlalu rumit kerana berkaitan keadaan politik antarabangsa dan negara asia barat.

Katanya, impian untuk melihat Syria kembali aman adalah sesuatu yang dijangka mengambil masa yang cukup panjang.

Misi ke-14 Aman Palestin kali ini juga, katanya bertujuan meninjau keadaan di Syria susulan gencatan senjata diumumkan Februari lalu.

"Misi ini mencapai matlamatnya terutama pembahagian makanan kepada pelarian dan dapat melihat keadaan sebenar pelarian terutamanya selepas memasuki Kem Yarmouk menerusi dua pintu yang berbeza.


ANTARA pelarian di kem penempatan Khan Dannun, Damsyik, Syria. - Foto Al Zahrin Alias

"Ia satu pencapaian kepada Aman Palestin sebagai pertubuhan sukarelawan antarabangsa kerana memasuki pintu yang dikuasai tentera kerajaan dan laluan yang ditawan pejuang bersenjata, Akhnaf Baitulmaqdis.

"Cuma agak terkilan kerana kita hanya dapat menyalurkan bantuan yang terhad berbanding keperluan pelarian di sini yang terlalu besar," katanya.

Awang Suffian berkata, ini kerana pihaknya tidak menerima maklumat yang tepat mengenai keadaan di Syria, lantaran itu misi kali ini membolehkan mereka mengumpul maklumat yang diperlukan.

Bagi menjayakan misi ini juga, Aman Palestin bekerjasama dengan pertubuhan Kempen Al-Wafaa Eropah yang menjadi perantara dalam memudahkan urusan bantuan di kawasan konflik.

25 dibaca
Berita Harian X