Isnin, 27 Oktober 2014 | 10:11am

SPRM mula tunjuk taring


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kiri) bersama Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Johan Jaafar (dua dari kanan) dan Ketua Pesuruhanjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed (kanan) pada sidang media selepas kunjungan hormat delegasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Buki Aman. - Foto Sairien Nafis

Sama ada disedari atau tidak, SuruhanjayaPencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah banyak berubah sejak penubuhan entiti itu 47 tahun lalu, daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 1967 sehingga pembentukan SPRM lima tahun lalu. Sejak kebelakangan ini, fasa perubahannya memberi satu momentum dan impak berkesan terhadap usaha mencegah rasuah.

Daripada memerangi rasuah dalam pelbagai jabatan terutama agensi penguatkuasaan seperti Imigresen, Kastam dan kini di Jabatan Perhutanan, SPRM juga tidak berkompromi apabila menahan seorang pegawainya baru-baru ini kerana disyaki menerima RM50,000 yang dikatakan sebagai dorongan untuk menutup satu kes yang sedang disiasat.

Sejak tahun 2012, SPRM menerima 1,566 maklumat mengenai penguat kuasa agensi kerajaan yang melepaskan kes jenayah dan melindungi penjenayah, sama ada secara bersendirian atau berkumpulan dan sepanjang tempoh itu, 320 penguat kuasa yang disyaki belot ditangkap, 388 kertas siasatan dibuka, dengan 142 kes berjaya ibawa ke muka pengadilan.

Daripada 320 tangkapan itu, 282 membabitkan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), masing-masing 13 pegawai Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), selain RELA dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). SPRM kini giat membanteras kegiatan pembalakan haram menerusi Ops Tukul di seluruh negara selepas beberapa kejayaan melalui beberapa tangkapan di Sarawak dan Johor, dan perhatian sekarang turut terarah di beberapa negeri di Utara dan Pantai Timur Semenanjung.

Apa yang kita harapkan ialah tangkapan itu bukan sahaja berakhir dengan hukuman di mahkamah, malah membawa mesej jelas bahawa SPRM benar-benar serius untuk membanteras rasuah pada semua peringkat sama ada membabitkan pemberi atau penerima rasuah. Kita tidak mahu lagi mendengar tangkapan dibuat tetapi kemudian dibebaskan oleh mahkamah kerana tidak cukup bukti.

Hakikatnya, bukan mudah untuk membuktikannya di mahkamah jika maklumat kurang sahih, apatah lagi, penjenayah rasuah kini semakin licik dan berpengetahuan tinggi dalam mengatasi kelemahan undang-undang. Cakapcakap 'orang itu dan orang ini rasuah' adalah perbualan yang kerap didengar dan sesetengahnya boleh dianggap sebagai fitnah jika tiada bukti.

Tugas membanteras rasuah sebenarnya semakin mencabar, memandangkan kompleksiti kes yang disiasat dan ditambah dengan era dunia tanpa sempadan serta perkembangan pesat teknologi maklumat.

Namun, dalam pada itu, penjawat awam terutama di bahagian penguatkuasaan cukup terdedah kepada risiko untuk terbabit dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah, selain tindakan pencegahan perlu dilakukan pada semua peringkat.

Berita Harian X