Selasa, 29 March 2016 | 2:27pm

ABPBH 29: Mira akur saingan bakat baharu lain


MIRA Filzah tercalon dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular, ABPBH29. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Biarpun dirinya dilihat antara calon yang mampu memberikan saingan sengit dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29, Mira Filzah tetap merendah diri dengan menyatakan segala kemungkinan boleh berlaku.

Dalam kategori terbabit, bintang Cinta Si Wedding Planner ini dicabar oleh empat lagi calon akhir ialah Falisha Crossley, Ruhainies, Janna Nick dan Nana Sheme.

"Setiap calon mempunyai potensi untuk memenangi trofi kategori ini. Ia sebuah persaingan yang sihat dalam kalangan bakat baharu.

"Mira sendiri enggan meletakkan harapan menggunung tinggi. Bak kata orang, dapat dicalonkan hingga ke peringkat Top 5 saja sudah memadai dan itulah yang benar-benar saya rasai ketika ini," katanya kepada BH Online.

Meskipun mempunyai kelab peminat sendiri, namun pelakon itu berkata, seperti dirinya, Miracle Fan Club juga masih begitu baharu.

Justeru, dirinya sendiri perlu melobi supaya peminat tidak lupa memangkah namanya pada borang pencalonan akhir, selain sokongan yang diberikan kelab peminat terbabit.

"Kelab peminat Mira belum terbiasa dengan situasi sebenar proses mengundi ini. Tetapi Mira bersyukur kerana mereka tetap berusaha dengan cara tersendiri, termasuk bekerjasama dengan kelab peminat artis lain.

"Kelab peminat Mira pun akan sentiasa mengemaskini apa saja maklumat berkaitan terkini. Ketika fasa undian ABPBH 29 bermula, Mira sibuk menjalani penggambaran dan selalunya pembantu peribadi Mira yang akan maklumkan setiap perkembangan," katanya.

Mengenai kerjaya lakonannya, Mira memberitahu beliau akan terbabit dalam penggambaran drama berjudul Meh Sandar Pada Aku, terbitan Zeel Production.

Begitupun, ketika dihubungi baru-baru ini, gadis manis itu belum mengetahui pelakon lelaki yang bakal bergandingan dengannya dalam drama terbabit.

"Sebelum ini Mira dikhabarkan akan digandingkan bersama Fattah Amin. Bagaimanapun, Mira juga dapat tahu, Fattah sudah terikat dengan sebuah penggambaran filem," katanya.

Berita Harian X