Selasa, 29 March 2016 | 8:47pm

UTM, Universitas Riau kongsi ilmu bangunkan IKS


TIMBALAN Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof Dr Azlan Abdul Rahman. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universitas Riau di Indonesia meningkatkan kerjasama serta berkongsi ilmu bagi membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memanfaatkan usahawan.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof Dr Azlan Abdul Rahman, berkata matlamat membangunkan PKS bertujuan memulihkan masalah pengangguran, meningkatkan kadar pertumbuhan pendapatan perkapita, pengagihan pendapatan seimbang serta meningkatkan kestabilan ekonomi.

Sehubungan itu, katanya, aktiviti perniagaan PKS memerlukan perubahan supaya lebih berdaya saing terutama membabitkan pasaran, pembungkusan, penjenamaan, penyampaian dan khidmat pelanggan.

"Sudah tiba masanya universiti memperluaskan fungsi dalam memperkasakan bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bertaraf dunia dalam ekosistem yang lebih kreatif serta inovatif," katanya.

Beliau berucap pada Seminar Antarabangsa IKS Johor-Riau 'Kolaborasi Pemegang Taruh Dalam Pembangunan Luar Bandar' di Institut Pembangunan BioProduk UTM di sini, hari ini.

Lebih 60 peserta membabitkan tenaga pengajar dan pelajar kedua-dua universiti menghadiri seminar dua hari itu, selain berkongsi rahsia kejayaan bersama usahawan IKS tempatan yang berjaya.

24 dibaca
Berita Harian X