Rabu, 30 March 2016 | 12:00am
KAPAL Auksiliari Tun Azizan yang menjadi pangkalan laut hadapan di ESSZONE mampu menerima pendaratan helikopter. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Auksiliari Tun Azizan banteras jenayah rentas sempadan

KEHADIRAN Kapal Auksiliari Tun Azizan berjaya cegah jenayah rentas sempadan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

KEHADIRANNYA memang memberi kesan besar kepada keselamatan perairan negara daripada diceroboh musuh.

Ini terbukti selepas enam bulan 'hadir' di pangkalan, jumlah pencerobohan berkurangan dengan mendadak iaitu daripada 250 bot asing kepada lima bot sahaja.

Penurunan mendadak itu susulan penempatan Kapal Auksiliari Tun Azizan di perairan Sandakan, Sabah, yang mula beroperasi pada 13 Mei 2015.

Operasi pertama pada Mei tahun lalu mencatatkan lebih 200 bot dan kapal asing dikesan cuba menceroboh perairan negara, manakala lima bot lagi melanggar perintah berkurung pada waktu malam.

Operasi kedua kemudian merekodkan penurunan kepada hanya 73 bot, disusuli 50 bot pada operasi ketiga dan cuma lima bot dalam operasi keempat pada Disember lalu.

Berperanan sebagai platform pangkalan operasi hadapan bagi menyokong dan memperkasa pelaksanaan operasi keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), kehadiran kapal Tun Azizan berupaya mewujudkan elemen cegah rintang terhadap aktiviti jenayah rentas sempadan.

Trauma kepada penceroboh

Kapal Auksiliari Tun Azizan adalah antara armada laut hadapan kedua di perairan ESSZONE selepas Kapal Tun Sharifah Rodziah di Semporna.

Panjangnya kira-kira 100 meter dan lebar 20 meter, dilengkapi pelbagai peralatan canggih bagi mengesan jenayah rentas sempadan, penempatan kapal Tun Azizan mampu memberi trauma kepada penceroboh yang cuba menerobos perairan negara.

Kapal itu mencapai kelajuan sehingga 16.5 knot cukup siaga untuk melakukan pemintasan kerana dilengkapi pelbagai aset termasuk bot Rover, Viper, Baracuda dan bot tempur CB90.

Dibina di Zhonghua, China dengan kekuatan lebih 80 anggota diketuai Pegawai Memerintah, Komander Mohd Suhaimi Mustafa, kapal berkenaan memberi signifikan terhadap keselamatan di Sabah.

AHMAD Kamarulzaman (tiga dari kiri) ketika melawat Kapal Auksiliari Tun Azizan di perairan Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Kehadiran memberi kesan

Ketua Tim Operasi Kapal Auksiliari Tun Azizan, Leftenan Komander Mohd Fazerulazizi Zainal Abidin, berkata penurunan pengesanan dan pencerobohan bot asing terutama bot laju yang sering kali cuba menerobos perairan Sandakan, jelas membuktikan kehadiran kapal Tun Azizan mencegah penjenayah rentas sempadan memberi kesan besar.

Ia juga menunjukkan kapal terbabit mampu mencapai misinya iaitu melakukan pengawasan, penguatkuasaan, pemintasan dan penyekatan laluan.

"Kehadiran kapal ini dapat menentukan keselamatan di ESSZONE. Selain kapal asing, mereka yang dikesan dan ditahan adalah bot tempatan kerana melanggar perintah berkurung yang berkuatkuasa jam 5 petang hingga 7 pagi setiap hari.

"Selain bantuan kepada agensi keselamatan lain, tugas kita di sini adalah untuk memintas jika berlaku ancaman tinggi," katanya.

AHMAD Kamarulzaman bersama komuniti maritim ketika melancarkan Program Rakan Maritim di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Bangga kerjasama semua agensi

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata beliau bangga kerana pangkalan laut bukan saja dianggotai TLDM dan Pegawai Pasukan Simpanan (PSS) TLDM, malah tentera darat, udara dan pelbagai agensi keselamatan lain.

Katanya, kerjasama rapat antara agensi keselamatan itu mampu meletakkan sektor maritim di ESSZONE sentiasa selamat.

"Kita akan melihat juga keperluan menempatkan lebih ramai anggota simpanan di atas kapal untuk menyumbang kepada keselamatan perairan Sabah.

"Secara tidak langsung, kehadiran kapal ini di ESSZONE selain dua lagi kapal iaitu Tun Sharifah Rodziah dan Bunga Mas Lima yang memberi sumbangan logistik kepada bot pemintas, sekali gus memberi keyakinan lebih tinggi kepada masyarakat setempat khususnya komuniti maritim," katanya.

Ahmad Kamarulzaman berkata, TLDM bagaimanapun tidak berasa lega dengan penurunan jumlah bot asing yang cuba menceroboh perairan negara, sebaliknya sentiasa peka terhadap laluan baharu digunakan penceroboh dan bersedia mengubah operasi.

ANGGOTA Kapal Auksiliari Tun Azizan berkawal di perairan Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Kukuh hubungan dengan penduduk

Selain menempatkan pangkalan laut, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa berusaha memperkukuhkan hubungan baik antara pasukan keselamatan dan komuniti maritim bagi menjamin keselamatan di perairan timur Sabah.

Ia termasuk menerusi program Rakan Maritim atau RAKAM yang memberi tumpuan mewujudkan persekitaran selamat kepada komuniti maritim di Sabah.

Selain itu, ia selaras matlamat kerajaan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memelihara kedaulatan dan kesejahteraan negara.

Menerusi RAKAM, dua elemen utama dilaksanakan iaitu Inisiatif Bertanya Khabar (IBK) dan Inisiatif Berkongsi Maklumat (IBM) yang mana individu daripada komuniti maritim diberikan kad tertera nombor telefon dan tatacara bagi memudahkan mereka menyalurkan maklumat.

Susulan hubungan akrab itu, TLDM berupaya mendapat maklumat tepat dalam waktu singkat dan ia penting memastikan pasukan keselamatan mampu merancang pertahanan secara optimum, sekali gus mengekang cubaan pencerobohan dengan berkesan.

Unit kedua TLDM

Program itu juga memberi peluang kepada warga TLDM mengenali lebih dekat masyarakat industri maritim termasuk nelayan, pengusaha kapal dagang, ketua masyarakat dan pengusaha pusat peranginan di pulau dan perairan negeri ini.

Markas pangkalan di Sandakan adalah unit kedua dalam TLDM melaksanakan inisiatif itu baru-baru ini selepas Markas Wilayah Laut 1 di Kuantan, Januari lalu.

Panglima TLDM, Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata RAKAM dilaksanakan bagi membantu komuniti maritim berasa lebih selamat.

"Objektif RAKAM dilaksanakan antara supaya tindakan segera dapat diambil terhadap insiden dilaporkan kepada TLDM.

"Ia juga membolehkan pihak keselamatan memantau dan mengambil tindakan jika berlaku penyalahgunaan kuasa seperti peras ugut dan rasuah dalam kalangan anggota keselamatan, sekali gus meningkatkan keyakinan komuniti maritim khasnya di Sabah terhadap kemampuan TLDM dan pasukan keselamatan lain," katanya.

ANTARA aset TLDM yang digunakan untuk memintas kegiatan jenayah maritim di perairan ESSZONE. - Foto Poliana Ronnie Sidom

INFO KAPAL AUKSILIARI TUN AZIZAN

  • Mula beroperasi di perairan ESSZONE pada 13 Mei 2015
  • Memiliki lebih 80 keanggotaan
  • Mampu mencapai kelajuan sehingga 16.5 knot
  • Panjang kapal 100 meter
  • Lebar kapal 20 meter
Berita Harian X