Rabu, 30 March 2016 | 4:16pm

Kerajaan, 2 yang lain batal saman waris MH370

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan dua yang lain berjaya membatalkan saman kecuaian serta kemungkiran kontrak dikemukakan waris penumpang MH370 berhubung kehilangan tiga anggota keluarga mereka.

Mahkamah Tinggi yang membuat keputusan itu hari ini, bagaimanapun mengekalkan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) sebagai defendan dalam kes saman itu selepas menolak permohonan syarikat terbabit untuk membatalkan saman berkenaan.

Sementara itu, Malaysia Airlines System Berhad yang turut dinamakan sebagai defendan, tidak mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman terbabit.

Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan permohonan kerajaan, Ketua Pengarah Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membatalkan saman itu selepas memutuskan Ketua Pengarah DCA dan Panglima TUDM tidak melanggar tugas serta tanggungjawab mereka.

Mohd Zaki membuat keputusan itu dalam kamar beliau.

Dalam kes saman itu, plaintif adalah waris kepada Tan Ah Meng, 46, dan isterinya, Chuang Hsiu Ling, 45, yang pada ketika kejadian adalah pengarah sebuah syarikat kejuruteraan dan pembinaan.

Turut menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac tahun 2014 itu adalah anak sulung mereka, Tan Wei Chew, 19.

Plaintif adalah dua anak mangsa, Tan Wei Hong, 15, dan Tan Wei Jie, 13; Tan Hun Khong, 84, dan Lai Chew Lai, 82, (ibu dan bapa Ah Meng); serta Chuang Hung Chien, 75, (ibu Hsiu Ling).

Semua plaintif diwakili peguam Sangeet Kaur Deo.

Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke, mewakili Ketua Pengarah DCA dan Panglima TUDM, manakala Sanjeev Kumar bertindak bagi Malaysia Airlines.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X