Rabu, 30 March 2016 | 9:57pm

Segerakan keputusan rayuan Sazali - Peguam

JAGUH bina badan negara, Sazali Samad. - Foto Hasriyasyah Sabudin
JAGUH bina badan negara, Sazali Samad. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menyerahkan surat sokongan untuk jaguh bina badan negara, Sazali Samad kepada Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), dua minggu lalu.

Peguam kepada Sazali, Mohd Norasmawi Norani, bagaimanapun berkata sehingga kini pihaknya belum mendapat sebarang berita daripada PBBM berhubung perkembangan mengenainya.

"Jika boleh, kita mahu PBBM membuat keputusan secepat mungkin kerana hukuman ini sedikit sebanyak mengganggu perancangan Sazali yang masih bersemangat membuat latihan serta memberi motivasi kepada pihak memerlukan.

"Sazali sangat berharap PBBM menerima rayuannya supaya beliau dapat merencana masa depannya, sekali gus dapat kembali mengharumkan nama negara dalam sukan bina badan," kata Mohd Norasmawi dalam kenyataan hari ini.

Sazali digantung empat tahun selepas gagal dalam ujian doping yang dijalankan oleh Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) pada 1 September lalu.

Sazali pernah memenangi kejuaraan Mr Universe sebanyak 10 kali, iaitu di Melaka pada 2000; Moscow, Rusia (2004); Ostrava, Republik Czech (2006); Jeju, Korea Selatan (2007); Dubai (2009); Varanasi, India (2010); Melaka (2011); Bangkok, Thailand (2012), Budaors, Hungary (2013) dan Mumbai, India (2014). Anak jati Batu Pahat, Johor itu yang digelar 'Orang Besi Malaysia', pernah meraih sembilan kali gelaran Mr Asia pada 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014. - BERNAMA

Berita Harian X