Isnin, 27 Oktober 2014 | 2:08pm
 Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. - Foto Fariz Iswadi Ismail.
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. - Foto Fariz Iswadi Ismail.

Pelantikan henti prejudis

Pelantikan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengetuai barisan pendakwaan dalam rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan perbicaraan dijalankan secara adil.

Pakar Perlembagaan, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir, berkata dalam kes liwat Anwar sebelum ini, ketua pembangkang itu sering mempersoalkan tindakan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika mengendalikan kes itu.

Nizam berkata, jika pendakwaan dikendalikan oleh Abdul Gani, ia dikhuatiri akan menjejaskan pendengaran rayuan kes berkenaan. Sehubungan itu, pelantikan Muhammad Shafee, dilihat dapat menghentikan prejudis terhadap Jabatan Peguam Negara.

Selaras undang-undang

Malah katanya, pelantikan itu selaras dengan peruntukkan undang-undang mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Acara Jenayah dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Antara kes lain, Peguam Negara memberi kuasa kepada peguam persendirian untuk mengetuai pembelaan adalah dalam kes Timbalan Pendak wa Raya melawan Ottavio Quattrocchi 2003, apabila kuasa pendakwaan diberi mengikut Seksyen 41(1) Akta Ekstradisi 1992.

"Isu ini sudah dibangkitkan oleh barisan pembelaan sebanyak tiga kali dan Mahkamah Persekutuan sudah membuat keputusan. Oleh itu, orang ramai perlu menerima dapatan Mmhkamah tertinggi di negara ini, " katanya ketika dihubungi semalam.

Tolak rayuan Anwar

Pada 14 Oktober lalu, keputusan sebulat suara panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria bersama Tan Sri Md Raus Sharif, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop, menolak rayuan Anwar untuk melucutkan kelayakan peguam berkenaan.

Arifin berkata, Pendakwa Raya mendapati Muhammad Shafee layak dan sesuai mengetuai pendakwaan dalam rayuan kes liwat terbabit, sekali gus tiada sebab munasabah untuk mahkamah berkenaan mencampuri fungsi dan bidang kuasanya.

"Kami juga berpandangan pelantikan itu tidak menjejaskan integriti pendengaran rayuan ini. Forum yang sesuai untuk mencabar pelantikan adalah melalui permohonan semakan kehakiman," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X