Khamis, 31 March 2016 | 9:29pm

Jangan jadikan Kevin Morais bola sepak politik - SPRM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah mendapatkan nasihat mendiang Datuk Anthony Kevin Morais berhubung siasatan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata Morais dipindahkan daripada SPRM pada Julai 2014, setahun sebelum siasatan 1MDB bermula dan tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat khas pasukan petugas yang dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

"Oleh itu, Kevin (Morais) tidak boleh dan tidak terbabit dalam menyediakan sebarang kertas pertuduhan berkaitan dengan 1MDB atau perdana menteri.

"Sebarang kenyataan yang bercanggah adalah palsu sama sekali," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abu Kassim berkata Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki telah mengesahkan kepada umum masing-masing pada September dan Disember tahun lalu bahawa Morais tidak pernah terbabit dalam siasatan berkaitan 1MDB atau perdana menteri.

"Kematian Kevin (Morais) adalah tragedi. Beliau harus dibenarkan untuk bersemadi dengan tenang dan tidak digunakan seperti bola sepak politik," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X