Jumaat, 1 April 2016 | 8:30am

Obama gesa sekutu halang Pyongyang majukan senjata nuklear

PRESIDEN Barack Obama (tengah) melihat Presiden Korea Selatan Park Geun-hye (kiri) berjabat tangan dengan Perdana Menteri, Jepun Shinzo Abe selepas pertemuan mereka pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington, hari ini. - Foto AP
PRESIDEN Barack Obama (tengah) melihat Presiden Korea Selatan Park Geun-hye (kiri) berjabat tangan dengan Perdana Menteri, Jepun Shinzo Abe selepas pertemuan mereka pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington, hari ini. - Foto AP

WASHINGTON: Presiden Barack Obama menggesa hubungan keselamatan lebih rapat di kalangan sekutu utamanya di Asia dan meningkatkan kerjasama dengan China bagi menghalang Korea Utara terus maju dalam pembangunan senjata nuklear.

Beliau membuat gesaan itu dalam berhadapan ancaman rejim komunis berkenaan yang semakin meningkat.

Ketika pemimpin dunia berkumpul bagi menghadiri sidang kemuncak keselamatan nuklear, Obama pada awalnya bertemu Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye.

Bersama-sama mereka memberi amaran Korea Utara akan berdepan sekatan lebih ketat dan dipulaukan lagi jika terus melakukan provokasi dengan melancarkan ujian nuklear dan peluru berpandu.

Kemudian, beliau bertemu Presiden Xi Jinping dan kedua-duanya menggesa Pyongyang menghentikan pembinaan senjata nuklear.

China juga bersetuju untuk melaksanakan sekatan ekonomi terbaru sepenuhnya yang dikenakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Pyongyang.

Lebih 50 kerajaan dan pertubuhan antarabangsa menghadiri sidang kemuncak dua hari untuk mengelakkan keganasan nuklear.

Risiko yang ditunjukkan kumpulan militan IS menjadi agenda utama tahun ini tetapi tumpuan juga diberikan kepada Korea Utara.

"Perkara paling penting kepada kedua-dua pihak adalah usaha Korea Utara membangunkan senjata nuklear, yang mengancam keselamatan dan kestabilan rantau itu.

"Saya dan Presiden Xi komited memastikan Semenanjung Korea bebas daripada nuklear," katanya. - AP

Berita Harian X