Jumaat, 1 April 2016 | 11:33am

Dalang sindiket MyKad palsu ditahan

SERI MANJUNG: Sepasang suami isteri warga Filipina dipercayai dalang sindiket MyKad palsu di daerah Manjung ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Samudera, di sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi itu, dua individu terbabit antara 18 warga Filipina yang ditahan  sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, JPN negeri dan Jabatan Imigresen negeri di sekitar kawasan itu.

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN, Mohamad Yusri Hashim berkata, dua individu berkenaan  dipercayai terbabit dalam pemalsuan dokumen pengenalan diri selepas penemuan ratusan salinan MyKad, MyKad dan sijil lahir di rumah berkenaan yang dipalsukan.

Katanya, modus operandi sindiket itu sering berpindah lokasi dari satu taman perumahan ke taman lain dan mereka menyewa rumah berkenaan sejak Ogos tahun lalu.

"Seramai 14 warga asing memiliki MyKad palsu manakala empat lagi dikesan menggunakan MyKad milik orang lain.

" Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka turut memalsukan pasport dan kad CIDB namun tiada wang tunai ditemui di rumah berkenaan," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X