Sabtu, 2 April 2016 | 12:20am

Mutasi kromosom dan gen punca penyakit PJJ

Penghidap Sindrom Noonan
Penghidap Sindrom Noonan

WAJAH unik dengan bentuk fizikal berbeza berbanding orang lain menyebabkan penghidap Penyakit Jarang Jumpa (PJJ) menarik perhatian ramai.

Ciri kelainan itu menyebabkan mereka dianggap luar biasa dalam kalangan masyarakat yang kurang memahami makna PJJ.

Keadaan sekeliling secara tidak langsung menjadikan penghidap PJJ berasa terasing dan rendah diri.

Pakar Perunding Klinikal Genetik dan Metabolik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ngu Lock Hock, berkata terdapat lebih seribu jenis PJJ yang berlaku di seluruh dunia.

Di Malaysia katanya, tiada statistik secara rasmi jenis PJJ yang kerap ditemui.

Beliau berkata berdasarkan pangkalan data, hasil kes yang dirujuk di klinik Genetik HKL, PJJ yang selalu ditemui termasuk kelainan kromosom, sindrom genetik dan penyakit Ralat Semulajadi Metabolism.

"Sindrom genetik lebih kerap berlaku adalah seperti sindrom Prader Willi, sindrom William, sindrom Noonan, sindrom DiGeorge dan sindrom Marfan selain sindrom Down.

"Penyakit Ralat Semulajadi Metabolisme (IEM) disebabkan kekurangan enzim di dalam sel badan mengakibatkan tubuh penghidap menukar zat makanan tertentu kepada tenaga," katanya.

Dr Ngu menunjukkan peralatan makmal genetik di HKL.
Dr Ngu menunjukkan peralatan makmal genetik di HKL.

Mutasi kromosom, gen punca PJJ

Sejumlah 80 peratus PJJ berpunca daripada perubahan genetik dan selebihnya berpunca daripada bukan genetik.

Perubahan genetik boleh menyebabkan PJJ terbahagi kepada dua kategori besar iaitu mutasi kromosom dan mutasi gen.

Mutasi kromosom boleh menyebabkan sindrom Prader Willi, sindrom William, sindrom DiGeorge, sindrom Wolf Hirschhon dan lainlain sindrom yang jarang jumpa.

Mutasi kromosom berlaku sama ada akibat ralat semula jadi yang boleh berlaku secara spontan semasa dalam kandungan atau kadangkala salah seorang ibu atau bapa adalah pembawa.

"Mutasi gen pula boleh menyebabkan beribu-ribu penyakit berlainan termasuk talasemia, G6PD, sindrom Marfan iaitu penghidap mempunyai ketinggian unik selain jari tangan panjang serta penyakit osteogenesis imperfecta atau tulang rapuh.

"Penyakit genetik tidak semestinya diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya kerana terdapat corak pewarisan yang berbeza," katanya.

Bagaimana mutasi berlaku

Dalam tubuh kita sel adalah unit paling asas dan setiap orang ada berbilion sel mengikut saiz masing-masing.

Dalam setiap sel pula mengandungi 46 kromosom atau 23 pasang kromosom.

Ibu bapa masing-masing menyumbangkan satu kromosom untuk setiap pasangan kromosom. Bermula daripada pasangan kromosom pertama sehinggalah pasangan kromosom terakhir.

Pasangan kromosom terakhir atau yang ke-23 menentukan jantina iaitu sekiranya komposisinya XX adalah perempuan dan XY adalah lelaki.

Lebih kurang 20,000 gen berlainan yang dibawa oleh 23 pasang kromosom terbabit. Mutasi kromosom berlaku akibat ada kecacatan antara kromosom, sama ada bilangan kromosom kurang daripada 46 atau lebih atau bilangan betul tetapi strukturnya tidak betul.

Mutasi gen pula kromosom tiada masalah tetapi gen yang bermasalah disebabkan perubahan yang diwarisi atau berlaku secara spontan.

Gen membawa dan menyimpan semua maklumat keturunan seperti warna mata, kulit, pandai atau sebaliknya.

Bagaimana PJJ diwarisi

"Corak perwarisan PJJ akibat mutasi gen terbahagi kepada Autosomal Recessive iaitu kedua ibu bapa adalah menjadi pembawa PJJ seperti talasemia, Autosomal Dominant dan "Xlinked".

"Pewarisan Autosomal Recessive kadangkala tidak disedari kerana pembawa tidak mengalami sebarang gejala penyakit berkenaan," katanya.

Corak pewarisan Autosomal Dominant pula, kata Dr Ngu, boleh dilihat dengan jelas, penyakit diwarisi daripada bapa atau ibu kepada anak seperti Sindrom Marfan.

Perwarisan penyakit `Xlinked' yang dibawa oleh kromosom X pula, kata beliau, dibawa oleh wanita iaitu ibu kepada anak lelaki sahaja seperti penyakit hemofilia.

Katanya, ini disebabkan anak lelaki hanya ada satu X saja berbeza dengan perempuan yang ada dua X di mana salah satu X yang baik itu boleh menyelamatkannya.

Penghidap sindrom Prader Willi
Penghidap sindrom Prader Willi

Manifestasi PJJ

Pakar Klinik Genetik dan Metabolik HKL, Dr Muzhirah Haniffa, berkata manisfestasi PJJ adalah pelbagai di mana ada anak yang lahir dengan kecacatan kongenital seperti Sindrom DiGeorge yang mengalami kecacatan jantung atau fizikal yang boleh dikesan.

"PJJ boleh menyebabkan gangguan pada fungsi organ tertentu seperti penyakit hati, otot dan tulang tetapi kadangkala tidak dapat dikesan ketika dilahirkan sehingga ibu bapa mendapati anak mereka mengalami kelewatan perkembangan selepas beberapa tahun.

"Kebanyakan mereka memang mengalami masalah pembelajaran seperti lambat berjalan atau bercakap," katanya.

Genetik tidak boleh diubah tetapi bagi penyakit barah berunsurkan keturunan seperti barah payudara dan usus, selalunya dinasihatkan supaya mengubah gaya hidup yang lebih sihat seperti tidak merokok dan bersenam.

Cara mencegah

Kebanyakan kes pertama PJJ berlaku, ada sejarah keluarga dan untuk kandungan seterusnya boleh dirancang.

Biasanya ibu bapa pesakit diberi kaunseling genetik termasuklah maklumat berkenaan perinatal diagnosis iaitu apabila kandungan berusia 12 minggu atau tiga bulan.

Satu prosedur akan dijalankan dengan mengambil tisu daripada janin untuk menganalisa sama ada kandungan terjejas atau sebaliknya.

Sekiranya status bayi terjejas, lazimnya mereka yang terbabit memilih untuk menggugurkan kandungan kerana bayi yang bakal dilahirkan tidak boleh dirawat.

"Pengguguran biasanya dilakukan sebelum 120 hari untuk penyakit yang tiada rawatan dan bayi yang bakal dilahirkan didapati tidak akan menjalani kehidupan berkualiti.

"Bagaimanapun proses ini agak kontroversi terutama dari segi agama tetapi terpulang kepada keputusan individu," katanya.

Biasanya kalau ada kes begini, masalah perlu dirujuk kepada pakar sakit puan dan pakar psikologi untuk melihat keperluan meneruskan kandungan atau sebaliknya.

Masalah umum dihadapi pesakit

PJJ sering disalah diagnosis atau lewat dikenal pasti menyebabkan pesakit menjalani penderitaan yang lama.

Ujian pengesahan untuk PJJ juga sukar didapati termasuk bilangan makmal yang sangat terhad.

Di negara kita, makmal terbabit hanya ada di HKL, Institut Penyelidikan Perubatan dan Institut Pengajian Tinggi Awam tertentu.

Kos juga sangat mahal membabitkan ujian kromosom atau mutasi gen yang boleh mencecah ribuan ringgit.

Banyak PJJ tiada rawatan kerana tidak ada syarikat farmaseutikal yang mahu menawarkan perkhidmatan atau melabur dalam menghasilkan ubat terbabit kerana pasarannya terhad.

Kesan ekonomi, psikologi

Bukan saja pesakit, ibu bapa dan keluarga menggalas beban seperti ekonomi dan psikologi.

Terdapat lebih 4,000 keluarga berlainan daripada seluruh negara dirujuk di Klinik Genetik HKL.

Mereka yang tinggal jauh dari hospital pula ada yang tidak mendapatkan rawatan kerana masalah pengangkutan.

Lazimnya mereka memerlukan rawatan pelbagai disiplin seperti mata, pendengaran, pembedahan, ortopedik atau pakar psikologi sekiranya diperlu.

Masyarakat pula perlu prihatin kepada penghidap PJJ dan menerima kehadiran mereka.

Cuma sebahagian kecil PJJ ada rawatan khusus dan selebihnya tiada rawatan.

INFO:

Definisi PJJ

* Tiada definisi rasmi

* Insiden yang berlaku satu dalam 12,000 penduduk

Rawatan sokongan

* Bagi pesakit yang tidak ada ubat khas seperti rawatan untuk mengurangkan kesakitan, alat sokongan untuk masalah penglihatan, pendengaran, pembelajaran dan tulang rapuh.

Rawatan khusus

* Rawatan khas seperti ubat dan enzim gantian.

* Pemakanan khas seperti susu khas untuk penyakit IEM.

CIRI-CIRI:

Sindrom Marfan

* Tinggi dan kurus dengan panjang anggota badan tidak seimbang.

* Dada menonjol atau tenggelam.

* Tapak kaki rata

* Kedudukan kanta mata seakan terkeluar daripada kawasan biasa.

* Gigi yang tidak tersusun berikutan lelangit yang melengkung.

* Jantung dan salur darah tidak normal.

Osteogenesis Imperfecta

* Keretakan tulang

* Pembentukan tulang tidak sempurna.

* Bahagian mata putih berwarna biru.

* Gigi rapuh

* Masalah pendengaran (bermula pada usia 20 an atau 30 an)

* Masalah berkaitan pemakanan menyebabkan sembelit, sukar makan makanan keras, tubuh tidak berkembang dan obesiti.

* Scoliosis (tulang belakang bengkok) Ralat Semulajadi Metabolisme (IEM) Gejala berbeza antara individu tetapi antara petanda yang perlu diberi perhatian;

* Pembesaran yang lewat

* Corak pemakanan yang buruk, muntah, lesu dan sukar berkembang.

* Air kencing dan bau badan yang luar biasa.

* Menunjukkan tidak suka kepada makanan tertentu.

Sindrom Prader-Willi

Menyebabkan pelbagai masalah;

* Keinginan makan yang berterusan mengakibatkan kegemukan

* Otot pendek

* Masalah pembelajaran

* Perkembangan yang perlahan

* Masalah tingkah laku seperti mengamuk atau kedegilan

Sindrom William

Memiliki bentuk wajah yang sama:

* Hidung kecil

* Bibir atas panjang

* Mulut lebar

* Lebam sekeliling mata

* Kurang berat semasa lahir dan peningkatan berat badan yang perlahan

* Mengalami masalah jantung dan salur darah

* Kegagalan jantung

* Mengalami kolik semasa bayi

* Masalah pemakanan

* Masalah pembelajaran

Sindrom DiGeorge

Penampilan wajah yang luarbiasa;

* Dagu yang tidak sempurna.

* Mata dengan kelopak mata berat

* Telinga ke belakang dan bahagian atas cuping telinga kecil

* Kecacatan jantung Wolf-Hirsch Masalah perkembangan dengan ciri;

* Bentuk wajah yang tidak seimbang

* Tumbesarn semasa lahir dan selepas dilahirkan.

* Ketidakupayaan intelek

* Sawan

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X