Sabtu, 2 April 2016 | 8:24am

Piala FA: Gomez waspada ancaman PDRM malam ini


PENGENDALI JDT, Mario Gomez. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengidamkan kemenangan bagi memburu pentas separuh akhir apabila berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Bagi pengendali JDT, Mario Gomez (gambar) walaupun skuad bimbingannya tampak memiliki kelebihan selepas menang 1-0 pada aksi suku akhir pertama, namun beliau mengingatkan pemainnya supaya tidak terlalu selesa dengan keputusan itu, malah menganggap masih ada 90 minit lagi yang perlu dihabiskan dan pemburuan kemenangan amat penting.

Beliau berkata, biarpun kapten Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, Mohd Fadhli Shas, S Kunanlan, Mohd Amri Yahyah, Mohd Nazrin Nawi dan Izham Tarmizi Roslan baharu pulang tugasan bersama skuad kebangsaan, mereka tetap meneruskan latihan bagi membuat persiapan pada aksi suku akhir kedua Piala FA.

"Kita tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan tipis itu kerana berdepan tugas lebih getir apabila melayani kunjungan PDRM di laman sendiri dan saya tetap meletakkan sasaran mencipta kemenangan.

"Beberapa pemain JDT bersama skuad kebangsaan sudah kembali menjalani latihan sejak kelmarin dan saya tidak mahu mengesahkan sama ada mereka akan diturunkan atau bermula sebagai pemain simpanan.

"Agak malang buat Junior Eldstal yang mengalami kecederaan ketika latihan walaupun dia sudah pulih tetapi terpaksa direhatkan semula manakala keadaan Aidil Zafuan belum pasti lagi sama ada boleh diturunkan atau tidak," katanya.

Gomez juga menegaskan skuad kendalian Mohd Fauzi Pilus pasti akan turun habis-habisan memburu gol awal dan benteng pertahanan JDT perlu berwaspada dan mengelak daripada terikut-ikut dengan corak permainan lawan sebaliknya kekal dengan taktikal yang dirancang.

Malah katanya, selepas dua pertembungan pada saingan Liga Super dan Piala FA, kemenangan memihak kepada JDT dengan masing-masing 2-0 dan 1-0 tatkala kedua-dua perlawanan berlangsung di tempat lawan.

"Kesempatan beraksi di tempat sendiri, malam esok (malam ini)i harus digunakan sepenuhnya. Kita kena kekal fokus dan tidak terlalu dibuai dengan pencapaian dua perlawanan lalu memandangkan aksi pada suku akhir kedua pasti berbeza.

"Apa pun dalam pemburuan meraih kemenangan itu, kita perlu tenang apabila beraksi di padang dan saya optimis gandingan Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero mampu bertindak selaku dua gandingan serangan berbisa," kata Gomez.

92 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »