Sabtu, 2 April 2016 | 5:24pm
WARIS berkongsi perkhabaran gembira itu dengan memuat naik gambar alat ujian kehamilan.

Isteri hamil, Waris muntah-muntah


PENYANYI rap popular, Waris bersama isteri, Izzati Amirah Kamaruddin.

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap popular, Waris, 27, berkongsi berita gembira apabila isterinya, Izzati Amirah Kamaruddin, 27, disahkan hamil tiga bulan.

Menghebahkan perkara itu melalui laman Instagram, Waris memberitahu, isterinya tidak mengalami alahan sebaliknya dia sendiri kerap muntah.

Penyanyi yang popular dengan lagu Gadis Jolobu itu berkata, doktor belum belum memastikan jantina anak sulungnya itu.

"Alhamdulillah. Sukar saya gambarkan perasaan gembira apabila doktor mengesahkan kehamilan isteri.

"Sebenarnya, saya berharap isteri bunting pelamin, namun rezeki datang sebulan lewat. Namun, saya bersyukur dengan rezeki Allah," katanya kepada BH Online.

Bercerita alahan yang dialaminya, Waris berkata, pada mulanya dia menyangka kerap muntah kerana cuaca panas.


WARIS berkongsi perkhabaran gembira itu dengan memuat naik gambar video imbasan.

"Nampaknya, alahan itu berpindah kepada saya. Saya ajak isteri pergi ke klinik untuk membuat pemeriksaan. Doktor beritahu alahan ini akan berterusan apabila kandungan isteri masuk trimester kedua," katanya.

Setakat ini, Waris berkata, isterinya hanya alah kepada bau-bauan.

"Jadi saya merokok jauh dari rumah kerana dia tidak tahan dengan bau rokok," katanya.

Waris yang mencipta nama menerusi lagu berjudul Rembau Most Wanted bernikah di Surau Al-Wehdah, Taman Lestari Permai, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, pada 1 Ogos lalu.

Dalam perkembangan terkini, Waris selesai merakamkan single terbaharu berjudul Ada Saja kolaborasi bersama Amyra Rosli dan Juzzthin. Lagu ciptaan sepenuhnya DJ Fuzz itu bakal dilancarkan, tidak lama lagi.

"Kami baru saja merakamkan lagu dan muzik video Ada Saja ciptaan DJ Fuzz. Namun, saya kurang pasti bila ia akan dilancarkan.

"Buat masa ini, fokus diberi sepenuhnya kepada lagu Lagenda yang sedang mendapat sambutan di corong radio tempatan," katanya.

Berita Harian X