Ahad, 3 April 2016 | 12:29am

Suami Adira "buka mulut" jawab kecaman

KUALA LUMPUR: Hampir empat bulan mendiamkan diri selepas pernikahannya dengan penyanyi, Adira Suhaimi diketahui umum, ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu, 38, akhirnya bersuara dan memohon masyarakat supaya berhenti melempar pelbagai komen yang mengguris perasaan terutama di laman sosial.

Adnan berkata, sejak pernikahan rahsianya dengan penyanyi kelahiran Sabah itu yang berlangsung di Songkhla, Thailand pada 3 Disember lalu diketahui umum, mereka sering menerima pelbagai kecaman dan kritikan terutama di Instagram setiap kali Adira memuat naik foto terbaharu.

Pasangan itu bagaimanapun, mengambil pendirian tidak menjawab sebarang komen negatif yang hanya bertujuan menyakitkan hati, malah Adnan sering menasihati isterinya supaya tidak mempedulikan apa yang diperkatakan umum kerana enggan memanjangkan lagi isu itu.


PENYANYI, Adira Suhaimi dan suaminya, Datuk Seri Adenan Abu ketika hadir ke Mahkamah bagi pengesahan nikah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur. - Foto Saddam Yusoff

"Mujur juga kerana kami berdua bukan jenis yang sentiasa "berkepit" dengan telefon bimbit. Disebabkan itu, kami jarang membaca dan membalas setiap komen negatif yang dilemparkan kerana tidak mahu lagi memanjangkan isu itu. Kami membuat perkara yang baik di sisi Islam, mengapa terlalu sukar untuk masyarakat menerimanya?

"Mereka lebih gemar mencari salah, sedangkan pernikahan kami berlangsung mengikut syariat dan direstui keluarga. Bukan tidak mahu bersuara sebelum ini, cuma saya memilih untuk tidak terlalu melayan mulut orang. Cara terbaik adalah mendiamkan diri kerana jika dibalas, ia akan berlarutan dan tiada noktahnya

"Saya berharap masyarakat menerima jodoh yang tertulis antara kami berdua dengan hati yang terbuka dan mendoakan supaya perkahwinan yang dibina ini dirahmati Allah," katanya dalam satu pertemuan bersama BH baru-baru ini.

Adnan turut melahirkan perasaan syukur apabila Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 21 Mac lalu mengesahkan pernikahan mereka selepas Hakim Syarie Muhammad Abdul Karim Wahab meneliti dan berpuas hati dengan semua keterangan, hujahan bertulis serta bukti pernikahan yang dikemukakan pasangan itu.


ADNAN turut melahirkan perasaan syukur apabila Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 21 Mac lalu mengesahkan pernikahan mereka. - Foto Saddam Yusoff

Mahkamah memerintahkan pasangan itu supaya mendaftar pernikahan mereka di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi mengesahkan status mereka.

Terbaharu, pasangan ini dikecam kerana dikatakan bermesra dan bercium tanpa mempedulikan masyarakat yang berada di sekeliling mereka. Menepis dakwaan tidak berasas yang dilemparkan, Adnan dan Adira seperti sudah lali dengan persepsi negatif orang ramai terhadap mereka.

"Bercium ada pelbagai jenis dan tidak semestinya pada mulut saja. Apa yang berlaku adalah kami berada di belakang pentas di mana isteri saya mencium tangan sebelum membuat persembahan. Saya memberi kucupan di dahi tanda memberi restu.

"Tidak sangka ada mata yang memerhati dan menambah rasa kepada cerita itu sehingga menjadi sensasi. Lagipun kami sudah sah sebagai suami isteri dan halal untuk bersentuhan, namun kami masih lagi tahu batas untuk tidak keterlaluan depan orang ramai," tegas Adnan.


ADIRA berterima kasih kepada peminat yang tidak jemu menyokong kerjaya seninya. - Foto Saddam Yusoff

Pada masa sama, Adnan juga berharap orang ramai dapat menerima keputusan pengesahan pernikahan mereka dengan hati terbuka dan berhenti melemparkan pelbagai tohmahan terhadap isteri keduanya itu. Sebagai suami, Adnan mengakui, dirinya turut merasai keperitan yang dilalui Adira apabila terpaksa berdepan dengan cemuhan masyarakat di laman sosial.

"Sebagai suami, saya perlu tampil membela isteri yang berterusan dilemparkan dengan kata-kata negatif. Ada ketika, komen yang ditinggalkan langsung tidak mempunyai kaitan dengan foto yang dimuat naik. Mereka sengaja melakukannya untuk menyakitkan hati.

"Alhamdulillah, mahkamah sudah menetapkan perkahwinan kami sah di sisi undang-undang setelah mengemukakan segala bukti yang diperlukan. Kami juga tidak perlu membayar sebarang denda atau sebagainya kerana kami pernikahan kami mengikut tuntutan syarak cuma ia dilakukan di Thailand.

"Saya berharap, selepas ini tidak timbul lagi sebarang cerita dan tohmahan terhadap saya dan isteri. Runsing saya dibuatnya, kahwin salah, tidak berkahwin pun salah," luah Adnan.


ADNAN berharap, selepas ini tidak timbul lagi sebarang cerita dan tohmahan terhadap beliau dan isteri. - Foto Saddam Yusoff

Terdahulu, kisah perkahwinan pemilik nama lengkap Siti Adira Suhaimi dan Adnan menjadi viral apabila seorang wanita yang menggunakan nama Datin Red memuat naik sekeping gambar dengan keterangan yang mencurigakan.

Isu perkahwinan mereka semakin hangat diperkatakan apabila Adira tampil membuat pengakuan sudah bernikah dengan seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk di Songkhla, Thailand pada Disember lalu.

Penyanyi lagu Hilang itu yang berada di sisi suaminya ketika temu bual berlangsung kelihatan tenang dan matang menangani segala kritikan yang menghimpit dirinya. Bagi Adira, penerimaan positif keluarga kedua-dua belah membuatnya enggan membuang waktu melayani perkara negatif yang kelak akan memakan dirinya.

"Masyarakat di luar sana memandang serong perkara ini, sedangkan kami berdua tidak melakukan perkara yang salah. Saya sudah katakan, isu pernikahan kami tidak perlu diperbesarkan kerana ia ketentuan jodoh. Memang mudah untuk bercakap, tetapi hanya saya mengerti apa yang kami lalu.

"Apa yang penting, memadai jika suami dapat menggembirakan ibu saya kerana ia sudah cukup untuk membuat saya bahagia. Walaupun berkongsi kasih, saya tetap reda dan berfikiran positif dengan aturan yang ditetapkan Tuhan. Dia Maha Mengetahui segala apa yang kita tidak tahu.

"Saya tidak rasa sebarang kekurangan, malah hubungan dengan madu juga baik," kata Adira yang enggan mengulas spekulasi keguguran kandungannya yang kecoh diperkatakan, baru-baru ini.

Penyanyi berkulit putih kelahiran negeri Di Bawah Bayu itu berterima kasih kepada peminat yang tidak jemu menyokong kerjaya seninya sehingga namanya kembali berada dalam senarai finalis kategori Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29.

"Saya berterima kasih kepada semua peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan meskipun saya ditimpa pelbagai kontroversi sepanjang tahun lalu. Sokongan tanpa henti mereka membuatkan saya terus cekal untuk berada dalam industri.

"Biarpun pernah merangkul kemenangan dalam kategori itu tahun lalu, saya tidak mahu meletak harapan tinggi kerana mereka yang dicalonkan mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri," kata Adira.

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya nyanyiannya, Adira sedang dalam proses mempromosikan single terbaharunya, Ku Mahu Pulang iaitu lagu tema telefilem berjudul Inayah. Beliau juga dipilih menyanyikan lagu tema untul Soulmate berduet dengan penyanyi Singapura, Taufik Batisah.

1173 dibaca
Berita Harian X