Isnin, 27 Oktober 2014 | 8:09pm
PENGGUNA jalan raya terpaksa meredah banjir di Jalan Sungai Rasau Padang Jawa selepas kawasan itu dinaiki air berikutan banjir kilat melanda Shah Alam, hari ini. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Beberapa kawasan di Shah Alam dilanda banjir kilat

SHAH ALAM: Hujan lebat kira-kira dua jam yang melanda bandar raya ini menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Jalan Sungai Rasau dan Padang Jawa, dilanda banjir kilat.

Hujan lebat bermula kira-kira jam tiga petang itu menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas di kawasan berhampiran, manakala beberapa kereta yang diletakkan di sekitar jalan berkenaan dimasuki air.

Tinjauan BH kira-kira jam lima petang mendapati keadaan laluan di kawasan yang dilanda banjir kilat masih sesak dengan kenderaan bergerak perlahan, manakala terdapat beberapa buah kereta yang rosak selepas dimasuki air diletakkan di tepi jalan.

Wan Samsul Ridzuan Wan Idris, 26, berkata ketika kejadian dia meletakkan kenderaan di tepi jalan utama kerana mempunyai urusan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Padang Jawa.

"Sebaik selesai urusan di JPJ, saya segera pulang dan ketika itu hujan sedang lebat. Namun, sebaik sahaja melalui jalan Sungai Rasau, saya terkejut apabila air secara tiba-tiba masuk ke dalam kereta. "Saya kemudiannya segera menghubungi rakan bagi membantu untuk alihkan kenderaan ke tempat yang lebih tinggi," katanya.

Seorang lagi pemilik kereta, Zulkifli Asrah, 49, berkata ketika berurusan di kaunter JPJ, dia diberitahu oleh beberapa individu untuk segera mengalihkan kenderaan kerana kawasan di sekitar JPJ dilanda banjir kilat.

"Bagaimanapun ketika keluar, saya melihat kereta saya sudah dimasuki air. Memang kawasan ini sering dinaiki air, tetapi bagi saya ini ialah kejadian paling buruk pernah berlaku," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk dari Kampung Padang Jawa, Harun Shah Ahmad Ali, 31, berkata kawasan berkenaan sering berlaku banjir kilat sejak 2008 lagi, berikutan sistem perparitan yang tidak sempurna.

"Memang banjir kilat akan surut dalam tempoh beberapa jam sahaja, namun ia tetapi membimbangkan serta membahayakan nyawa. Saya berharap Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) atau pihak yang bertanggungjawab dalam isu perparitan untuk segera bertindak atasi masalah ini," katanya.

Berita Harian X