Isnin, 4 April 2016 | 12:01am
SITI Elizad mengaku mereka tidak membuat perancangan dalam mendapatkan zuriat. - Foto Mohd Khairul Helmi Mohd Din.

Siti Elizad teringin timang anak



Dalam mana-mana rumah tangga, kehadiran cahaya mata tentu saja dianggap pelengkap kebahagiaan mahligai yang dibina. Begitu jugalah yang diharapkan oleh pelakon Teman Lelaki Upahan (TLU), Siti Elizad Sharifuddin, 32.

Cuma, lebih setahun melayari bahtera bersama Shamsul Baharin Rahman, 43, yang juga pekerja di sebuah syarikat permotoran di ibu kota, Elizad nampaknya belum mendapat rezeki untuk menimang cahaya mata sendiri.

Biarpun suaminya sudah mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu, namun tentu saja kehadiran zuriat daripada darah daging sendiri cukup dinanti pelakon jelita ini.

Elizad mengaku, mereka berdua tidaklah membuat sebarang perancangan dalam mendapatkan zuriat secepat mungkin. Semua itu, katanya adalah soal rezeki dan ketentuan Yang Maha Mengetahui.

"Pastinya kehadiran anak akan melengkapkan lagi rumah tangga kami. Saat ini, saya menerima rezeki daripada Tuhan dengan cara lain, termasuk tawaran berlakon," katanya yang berkahwin dengan Shamsul pada 11 Januari tahun lalu dalam sebuah majlis ringkas, yang tidak pun dihebahkan kepada umum.

SITI Elizad masih menganggap tempoh perkahwinannya sebagai "bulan madu". - Foto Mohd Khairul Helmi Mohd Din

Justeru, ketika ini pasangan terbabit boleh diibaratkan masih menikmati suasana 'bulan madu'. Setiap kali masing-masing mempunyai waktu terluang, kedua-duanya cuba untuk menghabiskan masa bersama. Maklum saja, sebagai pelakon, waktu kerja Elizad boleh dikatakan agak tidak menentu.

"Kalau ada masa terluang dan saya pula tidak terikat dengan sebarang penggambaran, kami akan sama-sama bercuti untuk memanfaatkan masa berkualiti.

"Aktiviti kegemaran kami pula adalah menunggang motosikal berkuasa tinggi. Hobi terbabit juga antara faktor yang terus mengeratkan perhubungan kami suami-isteri. Semua itu sudah pun menjadi nikmat terindah buat kami," katanya yang bakal muncul filem seram berjudul Harmonika, bergandingan dengan Ahya Rosli, 5 Mei depan.

Mengenai kesibukan dirinya sebagai pelakon, wanita peramah yang pernah muncul dalam filem Berlari Ke Langit dan Gangster ini berkata, beliau amat bersyukur apabila ditemukan dengan lelaki yang cukup memahami kerjaya seninya. Apatah lagi Shamsul jugalah yang banyak memberikan sokongan kepadanya ketika ini.

Jika satu ketika dulu beliau pernah menerima sokongan arwah ibunya, Nazariah Mohd Salleh, kini suami tercinta yang sentiasa berada di belakangnya.

Siti Elizad dan Shamsul Baharin Rahman.

"Suami sangat tenang dan sikapnya itu menyenangkan saya. Beliau jenis yang tidak banyak cakap dan tebal dengan sikap memahami. Beza jarak usia 13 tahun antara kami juga mungkin jelas menunjukkan kematangannya meneruskan hidup.

"Saya amat bersyukur memiliki suami sepertinya dan beliau menyokong minat seni saya ini. Status sebagai isteri pula tidak membataskan langkah saya untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini.

"Selalunya, kalau saya keluar bekerja selepas Subuh, saya akan terlebih dulu menyiapkan sarapan pagi untuknya. Acap kali juga, apabila pulang bekerja lewat malam, beliau sudah pun nyenyak tidur. Begitupun, itulah kitaran biasa dalam rumah tangga kami saat ini," katanya yang tidak putus-putus meluahkan kesyukuran dianugerahkan suami yang cukup memahami.

Elizad ialah antara finalis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) edisi ke-29 yang akan mencapai kemuncak pada 8 Mei depan. Julung kali namanya melekat sebagai calon akhir dalam anugerah berprestij itu, beliau bersama-sama Siti Saleha, Fathia Latiff, Erma Fatima dan Emma Maembong berada dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular.

"Saya percaya impak drama TLU antara punca nama saya mara sebagai calon Top 5 ABPBH 29. Drama itu sangat besar pengaruhnya terhadap kelangsungan kerjaya seni saya.

SITI Elizad mengakui amat teringinkan cahaya mata tetapi belum ada rezeki. - Foto Mohd Khairul Helmi Mohd Din

"Sejak drama itu disiarkan, saya mula mempunyai pengikut dan peminat yang sangat kuat menyokong hingga ke saat ini. Saya tahu, siapa yang tidak mahu menang trofi ABPBH? Tetapi bagi saya, pencalonan ke peringkat akhir ini juga sudah menjadi rahmat hidup. Ia bagai menjadi bukti kerja seni saya mula kukuh.

"Alhamdulillah selepas TLU sehingga kini, rezeki saya juga tidak pernah putus. Doa saya kepada Tuhan bagai termakbul. Jadual seni saya penuh sehingga selepas hari raya nanti. Saya gembira dan jauh sekali merungut dengan nikmat ini. Saya sendiri memang kuat bekerja dan tidak betah duduk diam," katanya.

Elizad yang juga peserta pertandingan nyanyian dan lakonan, Gempar Superstar, terbitan Astro percaya strateginya untuk terus diingati peminat selepas tamat drama TLU disifatkan berjaya. Terus menerima tawaran supaya kelibatnya tidak dilupakan nampaknya membuahkan hasil.

"Saya percaya kejayaan sebagai calon Top 5 ABPBH 29 adalah hasil strategi yang saya pasang, selain rezeki. Saya yakin, gandingan saya dalam TLU, Ungku Ismail, pun setuju dalam hal ini. Selepas TLU, memang saya terima tawaran berlakon dari satu produksi ke produksi lain. Ungku pula memilih untuk lebih selektif.

"Saya terima tawaran berlakon dan ia sedikit sebanyak membuatkan orang ramai terus mengingati saya di arena seni. Saya memang tak memilih tawaran yang datang. Jika ada yang memanggil saya berlakon sehari saja pun saya cuba penuhi. Saya juga tidak letak syarat itu dan ini. Saya cuba wujud dan jalinkan kerjasama baik dengan rumah produksi," katanya.

Pasangannya dalam TLU, Ungku Ismail, walaupun dilihat antara calon pilihan untuk mara ke akhir, gagal menempatkan diri dalam senarai Top 5 ABPBH kali ini.

Mengenai persaingan dalam kategori terbabit, Elizad percaya setiap calon mempunyai potensi untuk menggenggam trofi pada malam kemuncak nanti.

Berita Harian X