Isnin, 4 April 2016 | 3:21pm

Pelaburan hartanah asing pilihan rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Kalangan rakyat Malaysia terbukti tetap memilih pelaburan hartanah di luar negara, khususnya Australia, biarpun berdepan masalah penyusutan ringgit.

LAMAN sesawang PropertyGuru Malaysia di http://www.propertyguru.com.my/?gclid>Cj0KEQjwoYi4BRDF_PHHu6rI7NMBEiQAKZ-JuJBxJiif2j6tKQnB8rDFi6yEB72IhbB9iM0BoWeG-IsaAgLI8P8HAQ

Hasil kaji selidik terbaharu portal hartanah terkemuka rantau ini, PropertyGuru menerusi Laporan Kajian Sentimen Pasaran Hartanah Malaysia, menunjukkan destinasi utama lain yang menjadi pilihan pelaburan rakyat Malaysia adalah Singapura, Indonesia dan United Kingdom

Malah, 75 peratus responden rakyat Malaysia itu menyuarakan minat untuk membeli apartmen atau kondominium persendirian pada separuh kedua 2015 biarpun berlakunya penyusutan ringgit serta faktor luaran lain yang tidak memberangsangkan.

"Ia jelas menunjukkan hampir tiada perubahan berbanding tempoh suku pertama 2015 yang mana 76 peratus responden menyatakan minat untuk membeli pangsapuri atau kondominium di luar negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan itu juga menunjukkan, faktor penarik rakyat Malaysia untuk melabur di luar negara itu adalah pulangan sewa lebih lumayan sebanyak 56 peratus, kenaikan harga hartanah yang tinggi (55 peratus) serta alasan untuk persekitaran lebih baik dan tujuan persaraan yang mana kedua-duanya mencatat 46 peratus.

"Aspek pendidikan masa depan anak-anak yang lebih baik turut menjadi antara faktor iaitu 36 peratus," katanya.

Selain itu, sebanyak 52 peratus responden memilih Australia sebagai negara pilihan pembelian hartanah diikuti Singapura (23 peratus), Indonesia (15 peratus) dan United Kingdom (14 peratus).

Kaji selidik hasil kerjasama PropertyGuru dan Added Value-Saffron Hill, agensi penyelidikan profesional yang berpejabat di Singapura bertujuan memantap serta mengukuhkan kredibiliti hasil kajian.

Ia juga dapat membantu pengguna dan ejen hartanah mendapat gambaran mengenai pasaran hartanah bagi membuat keputusan pelaburan serta perniagaan lebih bijak. - BERNAMA

Berita Harian X