Selasa, 5 April 2016 | 8:50am

Leez dapat bayi perempuan

LEEZ bersama anak sulungnya, Nur Safiyya Alisha.
LEEZ bersama anak sulungnya, Nur Safiyya Alisha.

KUALA LUMPUR: Petang semalam, pelakon dan penyanyi, Leez selamat melahirkan anak perempuan diberi nama Nur Safiyya Alisha.

Bayi seberat 3.5 kilogram itu dilahirkan melalui pembedahan di Pusat Rawatan Islam Azzahrah di Bangi pada kira-kira jam 5.26 petang.

Leez yang berkahwin dengan anggota kumpulan Drama Band, Aepul pada Disember 2014 gembira dan bersyukur dengan kehadiran cahaya mata sulung berkenaan. Leez turut berkongsi berita gembira itu di laman sosial miliknya.

"Syukur alhamdulillah untuk rezeki ini Ya Allah. Kami berdua kini bergelar ibu bapa. Terima kasih "daddy" kerana sentiasa berada di sisi saya memberi semangat. Semoga Nur Saffiya akan menjadi anak solehah. Terima kasih juga yang mendoakan kesejahteraan saya dan anak," kata Leez.

Menurut Leez lagi, sedari awal dia sudah dimaklumkan akan melalui proses bersalin secara pembedahan kerana kedudukan songsang anaknya.

"Jadi memang saya sudah bersedia secara fizikal dan mental. Walaupun sudah diberi ubat bius di bilik pembedahan, saya sebenarnya masih gementar. Ia datang secara tiba tiba hingga saya jadi sesak nafas.

"Namun selepas doktor memberikan sedutan oksigen, saya lega sedikit. Suami saya juga diberi keizinan untuk berada di bilik pembedahan. Sedikit sebanyak sokongannya membuat saya kuat. Alhamdulillah saya akhirnya dapat atasi semua dengan baik dan selamat," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X