Selasa, 28 Oktober 2014 | 5:28am

Kenyir 2 model pembangunan lestari hidroelektrik

Empangan Puah di Hulu Trengganu mula menakung air. - Foto Abdul Halim Yusof

Ketika melawat projek Stesen Janakuasa Hulu Terengganu (SJHT) buat kali pertama pada Disember 2011, pembinaan terowong mengalih aliran sungai sedang giat dilaksanakan. SJHT yang juga dikenali penduduk sebagai Kenyir 2, dibuat atas keperluannya untuk menokok bekalan tenaga kepada grid nasional serta disasar memberi kesan limpahan kepada sosioekonomi penduduk.

Projek SJHT yang mula dibangunkan pada Januari 2010, merangkumi pembinaan Empangan Puah di Sungai Terengganu dan Empangan Tembat di Sungai Tembat membabitkan kos keseluruhan hampir RM2 bilion. Pembinaan empangan berkenaan akan mewujudkan dua tasik baharu masing-masing seluas 6,979 hektar (Puah) dan 218 hektar (Tembat).

Sistem turbin termoden

Dalam lawatan itu, saya dapati kontraktor dari China, Sinohydro Corporation Ltd dan syarikat tempatan Loh & Loh Construction Sdn Bhd mempunyai jadual kerja ketat bagi memastikan rancangan pemilik projek, Tenaga Nasional Bhd (TNB) memulakan operasi komersial pada September 2015 dapat dipenuhi sekali gus membolehkan kedua-dua empangan yang akan dilengkapi sistem turbin termoden menjana 250MW.

Projek SJHT membabitkan kos RM2 bilion.

Kini, tinjauan semula ke projek itu mendapati sasaran untuk memenuhi jadual nampak sangat munasabah. Pada 1 Oktober lalu, Empangan Puah sudah mula menakung air, 48 hari lebih awal daripada jadual asal pada 18 November ini.

Seperti dalam semua pembangunan projek hidro lain, empangan akan mengubah persekitaran, terutama aliran sungai dan kawasan daratan ditakungi air sekali gus mewujudkan sekumpulan pulau baharu. Umpamanya, Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) di Jenagor, Hulu Terengganu yang beroperasi pada 1985, mewujudkan 340 pulau di Tasik Kenyir. Tasik itu seluas 36,900 hektar dan menakung 13,600 juta meter padu air, lebih luas daripada Kuala Lumpur dan Singapura, membolehkan SJSM menjana 400 MW.

Walaupun 1 Oktober lalu kegiatan takungan air Empangan Puah bermula, banyak kerja lain yang sudah dibuat sejak lawatan pertama saya. Kerja berkenaan dilakukan bagi memastikan kelestarian alam terpelihara dan perubahan yang berlaku kepada flora dan fauna setempat bukan dibuat sembarangan, malah memenuhi syarat Laporan Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Antara langkah diambil TNB termasuk pembinaan laluan pembalak untuk mengurangkan penggunaan laluan kerja pembinaan projek, menanam rumput di lereng terdedah dan pemasangan dinding konkrit di tempat tertentu. TNB turut menghantar anak syarikatnya, TNB Research (TNBR) untuk membuat pemantauan bagi memastikan kepatuhan kepada syarat JAS berhubung tahap kualiti alam sekitar seperti kualiti air, kualiti udara, takat pelepasan kelodak, dan paras bunyi dan gegaran.

Seperti dikatakan Pengurus Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu, Zainuddin Suleiman, bagi memastikan tidak berlaku kerugian sumber alam termasuk balak di kawasan yang akan ditenggelami hasil pembentukan Tasik Puah dan Tembat, pihak Kerajaan Negeri Terengganu telah membenarkan kerja-kerja pembalakan di kawasan yang ditenggelami air dijalankan supaya hasil hutan yang bernilai dapat dikeluarkan sebelum proses penakungan tasik dimulakan. Pihak TNB bekerjasama bersama Jabatan Hutan Terengganu dan pembalak supaya kedua-dua aktiviti pembalakan dan aktiviti pembinaan projek dapat dijalankan tanpa halangan.

Kawasan Empangan Puah, Hulu Trengganu sebelum

Menerusi proses itu, adalah disasarkan juga mergastua dapat berpindah ke hutan di hulu tapak bina, sebelum kawasan paling hampir dengan empangan ditenggelami. Pada masa sama, proses mengumpul dan menyemai benih tumbuhan tertentu turut dibuat.

Ketika terowong mengalih saliran dan struktur empangan dibina, TNB serta agensi berkaitan merumus program khusus menyelamat ikan serta hidupan liar di SJHT.

Program menyelamatkan ikan

Selain TNB, beberapa agensi lain turut membantu termasuk Jabatan Perikanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi program menyelamat ikan. Program itu bertujuan menyelamatkan ikan yang terperangkap dalam kawasan hilir daripada Empangan Puah. Ikan yang berjaya diselamatkan (selain ikan kelah) akan direkodkan data seperti berat dan panjang badan, sebelum dilepaskan di kawasan hulu empangan yang tidak terjejas akibat penakungan Tasik Puah.

Sementara bagi ikan kelah, ia dipindahkan ke kolam asuhan yang terletak di Pusat Penyelidikan dan Menyelamat TNBR. Pusat ini dibina dalam kawasan projek SJHT dan digunakan sebagai pusat operasi dan penyelidikan sepanjang program menyelamat dilaksanakan. Dengan bantuan teknikal Jabatan Perikanan, telur ikan kelah daripada induk matang, akan ditetas dan diasuh di Pusat Pengembangan Perikanan sebelum dilepas semula ke sungai di kawasan SJHT.

Sementara Jabatan Perhilitan pula dengan kerjasama UKM melaksanakan program menyelamat hidupan liar. Program menyelamat itu dibangunkan berdasarkan data kaji selidik merangkumi pemantauan bulanan dan kajian terhadap konflik gajah dan manusia. Usaha menyelamat besar-besaran diadakan pada April hingga Ogos lalu, membabitkan pemasangan perangkap di kawasan dikenal pasti. Mergastua yang ditangkap, dilepaskan semula ke Hutan Perlindungan Hidupan Liar Sungai Deka. Perangkap kamera turut digunakan bagi merekodkan kehadiran hidupan liar di sesuatu kawasan.

Sebelum penakungan Tasik Puah bermula, dua ekor gajah dari dua kumpulan berasingan turut dikolar dengan peralatan GPS bagi memudahkan rekod pergerakan mereka dicerap menerusi satelit. Data yang diperoleh membantu pihak berkuasa menyediakan pelan tindakan ketika operasi menyelamat dijalankan.

Mengikut Penyelidik Kanan TNB Research Sdn Bhd, Shahril Mod Husin, apabila Tasik Puah sudah ditakung, kaedah menyelamat aktif diguna pakai. Bagaimanapun, usaha ini dilaksanakan dengan sentuhan terus paling minimum terhadap hidupan liar berkenaan. Kaedah ini dilaksanakan bagi memastikan mereka tidak berasa tertekan seterusnya meningkatkan keberkesanan usaha menyelamat haiwan liar ini. Selain merekodkan data tertentu, semua hidupan liar yang diselamatkan akan terus dilepaskan ke Hutan Perlindungan Hidupan Liar Sungai Deka. Namun, hidupan liar yang tercedera akan dirawat terlebih dulu di Pusat Penyelidikan dan Menyelamat TNBR.

Anggota Jabatan Perikanan melaksanakan kerja menangkap spesies ikan di hilir Empangan Puah.

Usaha pembangunan lestari

Program menyelamat flora dan fauna di SJHT menjadi penanda aras bagi usaha pembangunan lestari yang diamalkan TNB. Program itu juga akan menjadi rujukan pada masa depan, terutama bagi projek hidroelektrik. Daripada sejumlah 21,800MW tenaga elektrik dijana, hidro menyumbang 12.5 peratus (1,911MW) menerusi beberapa empangan di Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Gas masih sumber utama dengan 53.1 peratus diikuti arang batu (34.1 peratus) dan bakinya minyak (distillate).

Walaupun projek hidro elektrik membabitkan kawasan luas, pembinaannya memberi pelbagai manfaat. Selain membantu menseimbangkan adunan sumber bahan api negara, hidro mewujudkan kesan limpahan sosioekonomi dan fungsi tebatan banjir, terutama di Terengganu. Projek hidro di Hulu Terengganu akan mewujudkan sistem tasik tiga peringkat. Yang paling atas Empangan Tembat (yang akan beroperasi pada Mac 2016) dan airnya disalirkan ke Empangan Puah, dan seterusnya ke Empangan Kenyir sebelum ke Sungai Terengganu.

Berita Harian X