Selasa, 5 April 2016 | 12:13pm

Parti politik, NGO bantah bina 3 lebuh raya di Selangor

SETIAUSAHA Agung PSM, A Sivarajan mewakili 19 kumpulan mengadakan bantahan terhadap kerajaan negeri di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, sebentar tadi. - Foto Muhammad Sulaiman
SETIAUSAHA Agung PSM, A Sivarajan mewakili 19 kumpulan mengadakan bantahan terhadap kerajaan negeri di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, sebentar tadi. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, digesa membatalkan tiga projek pembinaan lebuh raya di negeri ini kerana dikhuatiri memusnahkan lima kawasan hutan simpan.

Gesaan itu disuarakan wakil 19 kumpulan yang terdiri daripada parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan bantahan terhadap kerajaan negeri di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, sebentar tadi.

Mereka kemudian menyerahkan memorandum bantahan kepada Mohamed Azmin menerusi Pegawai Berita Menteri Besar, Shahril Said.

Antara kumpulan membantah, termasuk Pemuda Sosialis Parti Sosialis Malaysia (PSM), Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

Wakil mereka yang juga Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan berkata, memorandum berkenaan bagi mendesak Mohamed Azmin menghentikan pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE), Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH).

Katanya, jika kerajaan negeri meneruskan projek berkenaan, ia akan memusnahkan Hutan Rimba Ampang, Hutan Ulu Gombak, Hutan Bukit Cherakah, Hutan Sungai Buluh dan Hutan Bukit Sungei Puteh Utara/Selatan.

"Pada 16 Mac 2016, akhbar utama menyiarkan pengumuman mengikut Kaedah-kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014 dengan tujuan mendapatkan maklum balas rakyat mengenai keinginan kerajaan untuk 'degazette' tiga hutan simpan itu bagi pembinaan Lebuhraya DASH dan SUKE.

"Kini projek lebuh raya EKVE pula sedang dimulakan. Seluas 106.6 hektar tanah Hutan Simpan Ampang telah 'degazette' demi memenuhi keperluan pembinaan lebuh raya ini. Hutan simpan yang usianya mencecah jutaan tahun bakal diratakan dalam masa empat tahun," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X