Selasa, 5 April 2016 | 1:01pm

'Panama Papers' cemaskan ramai ahli politik, selebriti

PARIS: Beberapa negara mula melancarkan siasatan mengelakkan cukai selepas kebocoran maklumat sulit mengenai urusan kewangan luar pesisir membabitkan ahli politik dan selebriti.

Skandal itu meletup pada Ahad apabila kumpulan media mula mendedahkan keputusan siasatan selama setahun mengenai 11.5 juta dokumen daripada firma guaman Panama, Mossack Fonseca, yang pakar dalam mewujudkan syarikat luar pesisir.

Antara nama yang disebut dalam 'Panama Papers' itu adalah sekutu rapat Presiden Vladimir Putin, saudara mara Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri Iceland, Sigmundur David Gunnlaugsson, selain penyerang kelab bola sepak Barcelona, Lionel Messi.

"Kami sudah membuka siasatan penggubahan wang haram berkaitan dengan firma guaman itu," kata sumber perundangan Mahkamah Kebangsaan Sepanyol, yang menamakan pemenang Oscar kategori Pengarah Terbaik, Pedro Almodovar, sebagai antara yang mempunyai pegangan luar pesisir.

Sementara itu keluarga Messi segera mempertahankan bintang bola sepak kelahiran Argentina itu, berkata beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan 'tuduhan Messi mengelakkan cukai, termasuk rangkaian penggubahan wang haram, adalah palsu dan menghina.'

Messi didakwa dengan penipuan cukai dalam kes berasingan yang dijangka dibawa ke mahkamah Mei ini. - AFP

Berita Harian X