Selasa, 5 April 2016 | 4:22pm

Impian Loque cipta lagu kenang jasa bapa terlaksana

Penyanyi dan Komposer, Loque pada tayangan filem Redha di Pavillion. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Impian Loque untuk menghasilkan lagu bagi mengenang pengorbanan dan jasa ayah berjaya ditunaikan apabila sutradara filem Redha, Tunku Mona Riza, memilih karya komposer itu sebagai runut bunyi naskhah arahannya.

Loque yang juga vokalis kumpulan MonoloQue mengakui sudah lama berhasrat menghasilkan karya mengenai hubungan ayah dan anak, namun sebelum ini rezeki tidak menyebelahinya.

Justeru beliau turut teruja apabila lagu ciptaannya berjudul Abah dipilih untuk melatari filem arahan pengarah yang diminatinya.

"Saya pernah menghasilkan lagu berjudul Bonda, khas untuk golongan ibu dan menyimpan cita-cita untuk membuat lagu untuk ayah pula. Ia sebuah lagu mengisahkan pengorbanan dan hubungan antara anak dan bapa serta menyelitkan mesej positif.

"Inilah kolaborasi kedua antara saya dan Tunku Mona. Sebelum ini saya menghasilkan lagu berjudul Batu Belah Batu Konkrit untuk telefilem Parit Jawa. Apabila ditawarkan oleh beliau untuk mencipta lagu mengenai kanak-kanak autistik, saya menjadi teruja dan menganggap ia sebagai satu cabaran.

"Sejujurnya saya tidak begitu terdedah dengan masalah autisme dan ia membuka mata saya untuk mengetahui lebih lanjut lagi. Segala konflik, suka dan duka saya jadikan sebagai elemen untuk dimuatkan di dalam lagu Abah ini," katanya kepada BH Online.

Bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 14 April ini, Redha menampilkan barisan pelakon seperti Namron, June Lojong, Nadiya Nisaa, Remy Ishak, Ruminah Sidek, Susan Lankester, Harith Haziq dan Izzy Reef.

Berita Harian X